KUALA LUMPUR – Pelakon dan usahawan popular, Wawa Zainal mengundang perhatian netizen apabila kembali bekerja meskipun masih menjalani tempoh berpantang selepas bersalin seorang bayi lelaki pada 30 November lalu.
Menerusi satu video di laman Instagram, Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin dilihat menggayakan dress labuh selain berkasut tumit tinggi dan memandu ke pejabat urusan di Bandar Baru Bangi, Selangor.
“Hari kelapan berpantang dan singgah pejabat kejap periksa produk mendarat di ibu pejabatm. Alhamdulillah sambutan luar biasa, pelanggan sudah lama sangat ternanti-nanti,” tulis wanita kelahiran Lahad Datu, Sabah itu.
Video berdurasi 28 saat tersebut memaparkan pelakon berusia 30 tahun itu memeriksa stok produk sekali gus bertemu dengan kakitangan dan rakan perniagaan serta stokis terlibat.
Rata-rata pengikutnya menyifatkan pelakon filem Sabda Kekasih itu sebagai wanita yang hebat kerana tampak aktif dan bersemangat setelah ‘berjuang’ melahirkan cahaya mata keempat.
Wawa mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Aeril Zafrel pada 2013 dan dikurniakan tiga lagi cahaya mata iaitu Ahmad Fakhruddin Attar, 7, Hayla Maghfiratul Adzkiyaa, 5, dan Ayya Soffya yang kini berusia setahun.- MalaysiaGazette