KUALA LUMPUR – Isu Kampung Sungai Baru tiada kena-mengena dengan pembangunan Kampung Bharu, malah perkara itu sengaja ditimbulkan pihak tertentu kononnya jumlah pampasan yang diberikan pemaju tidak mencukupi untuk pembelian rumah gantian.
Pengerusi Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru Kuala Lumpur, Zulfakar Wahib menegaskan, perkara itu tidak sepatutnya timbul kerana hampir 85 peratus penduduk asal telah bersetuju agar kawasan itu dibangunkan semula oleh pemaju sejak hampir lima tahun lalu.
“Ini cerita Kampung Sungai Baru, luar dari Kampung Baru, Kampung Baru di bawah Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS), kita ini luar daripada MAS.
“Kampung Sungai Baru tiada kena mengena dengan Kampung Baru, isu tanah berapa harga, berapa kaki persegi tiada kena mengena dengan Kampung Baru.
“Kita sudah lima tahun kita buat kerja untuk mendapatkan sokongan majoriti dan menyokong pembangunan semula Kampung Sungai Baru. Kita dah dapat hampir 85 peratus tandatangan, tapi yang minoriti ini hanya 15 peratus saja.
“Kadang-kala kefahaman mereka ini kita nak mereka faham, kita di Kampung Sungai Baru ini sudah buat kerja sejak 2016 sampai sekarang,” katanya pada sidang media di KL Gateway Mall, di sini, hari ini.
Rabu lalu, Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) menafikan dakwaan menyatakan pemilik tanah dan flat PKNS Sungai Baru, Kampung Baru Kuala Lumpur perlu mengosongkan rumah dalam tempoh 42 hari.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai dakwaan pampasan pemindahan di Kampung Sungai Baru rendah selain rintihan segelintir penduduk yang berkumpul untuk memohon kerajaan campur tangan isu pampasan pengosongan unit.
Pada 2016 pihak pemaju telah dipelawa oleh Persatuan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru (PPHKSB) untuk mengemukakan cadangan pembangunan di kawasan Sungai Baru, Kampung Baru.
Sejumlah 382 unit membabitkan 64 lot teres dan 264 unit flat terlibat dengan projek pembangunan semula itu.
Dalam pada itu, Zulfakar menafikan dakwaan segelintir penduduk kononnya penduduk asal flat PKNS di Sungai Baru perlu mengosongkan kediaman mereka dalam tempoh 42 hari.
“Pada awal tahun ini, baru kita dapat mohon untuk pengambilan tanah disebabkan pandemik Covid-19.
“Saya tengok setiap video yang diviralkan, cerita yang sebenar tiada, cerita itu cerita syok sendiri, mereka mengatakan pemaju ini zalim, 42 hari kena keluar.
“Sebenarnya bukan suruh keluar, tapi penduduk boleh hantar bantahan di mahkamah,” jelasnya.
Katanya, ketika ini pihak persatuan dan pemaju tiada hak lagi untuk campur tangan soal pengambilan tanah Kampung Sungai Baru kerana ia di bawah bidang kuasa mahkamah dan PKB.
“Buat masa ini 15 orang itu tak nak berjumpa dengan kita, hari itu dia buat perjumpaan beramai-ramai di Sungai Baru dan kita pun tak dipanggil, pada waktu itu pihak PKB ada datang untuk beri penerangan kepada mereka.
“PKB adalah fasilitator kita, kalau ikut apa yang ada sekarang ini, pemaju dan persatuan tak boleh terlibat sebab ia sudah pergi ke peringkat mahkamah dan dalam proses pengambilan tanah, kita sudah tak boleh terlibat apa-apa.
“Kita hanya tunggu saja mahkamah buat keputusan, jadi saya pun tak faham kenapa pada waktu ini baru mereka nak (bantah) padahal kita sudah beri masa hampir lima tahun untuk bincang dengan pemaju,” katanya.
Zulfakar turut menafikan dakwaan segelintir penduduk kononnya pampasan RM200,000 yang diberikan pemaju tidak mencukupi untuk membeli rumah lain sedangkan mereka sendiri menolak pakej yang ditawarkan sebelum ini.
“Mereka ini bila setuju pindah, satu sen pun mereka tak perlu bayar apa-apa, dia hanya duduk (rumah transit) sampai rumah siap (kondominium). Saya rasa itu satu tawaran luar biasa, duduk selama-lamanya di Kampung Sungai Baru.
“Kita memperjuangkan rumah kita di Sungai Baru mesti didahulukan, itu saya dah cakap dengan pemaju, penduduk kampung kita tidak dihalau.
“Kadang-kala saya gelak dengan apa yang mereka cakap, siapa yang halau siapa ini, kita memang nak balik kampung kita, kita anggap Sungai Baru itu kampung kita, balik kampung semula bila rumah dah siap.
“Tapi mereka yang nak ambil duit ini, anda yang halau diri sendiri, anda ambil duit tapi mana kena keluar. Ada orang nak bagi rumah, bila dapat RM200,000 cakap mana ada rumah nak beli. Pada awalnya kita memang tawar rumah, dia sendiri tolak tawaran itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette