Home Dunia Pembunuh kejam anggota polis New Zealand dipenjara seumur hidup

Pembunuh kejam anggota polis New Zealand dipenjara seumur hidup

Matthew Hunt

WELLINGTON – Seorang lelaki New Zealand dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh seorang anggota polis dalam tragedi yang menyayat hati tahun lalu.

Konstabel Matthew Hunt, 28, terbunuh pada Jun 2020 selepas dia dan rakannya mendekati kereta milik Eli Bob Sauni Epiha, 25, yang dilanggarnya di sebuah jalan raya di Auckland.

Kereta Epiha, dilanggar selepas suspek memandu laju dan melarikan diri daripada polis trafik sebelum melepaskan tembakan ketika kedua-dua anggota polis itu menghampirinya.

Dia menembak dan mencederakan rakan Hunt sebelum melepaskan tembakan ke arah mangsa.

Kedua-dua anggota polis berkenaan tidak bersenjata ketika itu.

Pembunuhan Hunt adalah tragedi kali pertama membabitkan kematian anggota polis ketika menjalankan tugas sejak 2009.

Pasukan polis berkata, Hunt dan rakannya telah menghampiri kereta suspek untuk membantu pemandu, tetapi mereka diserang.

Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman itu hari ini berkata, lelaki berusia 25 tahun itu telah menembak Hunt empat kali di belakang, berhenti seketika dan kemudian melepaskan tembakan sekali lagi walaupun mangsa sudah terkulai.

Hakim yang menjatuhkan hukuman, Geoffrey Venning, menyifatkan tindakan Epiha sebagai tidak berperasaan dan kejam.

Venning menolak dakwaan Epiha itu bahawa dia telah bertindak tanpa niat.

“Anda boleh berhenti pada bila-bila masa… tetapi anda meneruskannya,” kata Justice Venning.

Epiha tahun lepas mengaku membunuh Hunt tetapi menafikan tuduhan cubaan membunuh David Goldfinch, anggota polis lain yang ditembak tiga kali.

Bagaimanapun, juri mendapati dia bersalah atas pertuduhan itu juga. – BBC