Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Tropicana Corporation Berhad dan Majlis Perbandaran Pontian ketika hadir merasmian Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Perindustrian Tropicana Industrial Park, Pekan Nanas semalam.
JOHOR BAHRU – Semua pihak bekerjasama dan berusaha menjadikan Johor sebagai destinasi pilihan para pelabur.
Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, dalam keadaan ekonomi kini, iklim pelaburan semakin kompetetif dan mereka mempunyai banyak pilihan bagi menjaga kepentingan syarikat masing-masing.
Oleh itu, Johor, katanya, harus menggunakan semua potensi yang ada.
“Kita perlu terus menjadikan Johor ini sebagai negeri pilihan pelabur kerana kita merupakan negeri yang begitu unik dan strategik.
“Kita harus menggunakan ruang dan peluang sebagai negeri yang unik ini dengan berjiran negara maju, Singapura sudah jauh ke hadapan daripada kita. Tentulah kita tidak mahu jauh tertinggal ke belakang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Perindusterian Tropicana Industrial Park di sini semalam.
Hasni turut menyeru agensi yang terlibat supaya memudahkan proses dan prosedur pelabur yang ingin melabur ke negeri itu.
“Mengekalkan yang sedia ada tidak cukup baik. Kita perlukan lebih banyak pelaburan datang ke negara kita. Maka memudahkan cara juga merupakan salah satu kepentingan supaya dalam tata kelola kita menguruskan pelaburan itu perlulah kita mencari jalan supaya ia mesra kepada pelabur.-MalaysiaGazette