Home Utama Siasatan pengambilan tanah di Sungai Baru, Kampung Bharu ditangguhkan tahun depan

Siasatan pengambilan tanah di Sungai Baru, Kampung Bharu ditangguhkan tahun depan

Kain rentang luahan sebahagian penduduk yang tidak berpuas hati kerana diminta berpindah dan diberikan nilai pampasan yang rendah membabitkan kawasan flat dan rumah teres di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 04 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Siasatan pengambilan tanah di Sungai Baru, Kampung Baru di sini ditangguhkan ke tahun hadapan bagi membolehkan rundingan antara pemaju dan pemilik lot/ flat PKNS Sungai Baru mencapai satu persetujuan.

Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) dalam kenyataan memaklumkan perkara itu dicadangkan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

“Menteri Wilayah Persekutuan akan sentiasa berusaha untuk membantu bagi memastikan rundingan di antara pemaju dan pemilik lot / flat terbabit berjalan dengan harmoni,” menurut kenyataan itu.

Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) melalui PKB bertindak sebagai fasilitator bagi membantu melancarkan pelaksanaan pembangunan semula itu selaras fungsinya yang dinyatakan dalam Akta Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (Akta 733), katanya.

Sehubungan dengan itu, KWP dan PKB telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan rundingan bersama Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKPTG WPKL), pemaju dan pemilik lot / flat PKNS Sungai Baru berkenaan isu tersebut.

— BERNAMA