JOHOR BAHRU – Polis berjaya menumpaskan sindiket pusat perjudian dalam talian yang beroperasi 24 jam selain menahan lima lelaki warga Indonesia dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Ungku Tun Aminah kelmarin.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kelima-lima suspek ditahan merupakan operator tambah nilai kredit dan pengeluaran kredit judi dalam talian.
“Kesemua suspek yang berumur 21 hingga 29 tahun dan pemeriksaan polis mendapati premis berpagar dan berpengawal itu dijadikan sebagai pusat judi dalam talian atau calling centre yang menawarkan perjudian melalui tiga laman sesawang iaitu www.gin557.com, www.gingin8.com dan www.gin551.com.
“Sindiket ini menyasarkan pelanggan tempatan dengan nilai kutipan antara RM3,000 hingga RM10,000 sehari. Premis ini telah beroperasi sejak Mac lalu,” katanya dalam sidang media hari ini.
Hasil siasatan juga mendapati sindiket berkenaan mampu mengaut keuntungan bernilai jutaan ringgit, kata Ayob Khan.
“Segala transaksi adalah melalui perbankan dalam talian dari beberapa akaun yang telah dikenal pasti di mana semua akaun bank adalah akaun bank Malaysia,” jelasnya lagi.
Difahamkan, suspek-suspek itu dibayar gaji antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan.
Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, mereka turut menerima komisen RM500 hingga RM800 berdasarkan keuntungan bulanan.
Turut dirampas tiga komputer riba, sebuah tablet, 15 telefon bimbit pelbagai jenama, empat modem wifi dan kunci rumah.
Kesemua warga asing yang ditahan dipercayai masuk ke negara ini sejak 2019 melalui pas lawatan sosial dan pasport mereka dipegang oleh ejen sindiket terbabit.
Dalang utama sindiket terbabit masih lagi dikesan, kata Ayob Khan lagi.
Kesemua yang ditahan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Keseksaan selama empat hari bermula semalam hingga Ahad ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.-MalaysiaGazette