Home Nasional Cadangan guru asrama Melaka jalani RTK tiap minggu boleh dilaksanakan – KM

Cadangan guru asrama Melaka jalani RTK tiap minggu boleh dilaksanakan – KM

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali (tengah) merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri 2021 di Melaka hari ini.

MELAKA – Cadangan untuk mewajibkan guru di semua sekolah berasrama di Melaka menjalani saringan Covid-19 kit ujian pantas (RTK) setiap minggu boleh dilaksanakan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, ia bagaimanapun perlu melalui kajian terperinci termasuk pihak bertanggungjawab memikul tugas berkenaan yang turut membabitkan kos.

“Cadangan boleh dilaksanakan tapi kita kena tengoklah siapa yang akan bertanggungjawab…kena lihat implikasi dari segi kos ujian (RTK) saliva itu kalau ianya dibuat dan dari segi logistiknya.

“Kalau Dr Akmal (Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr Muhamad Akmal Saleh) boleh uruskan, pihak Dr Azam (Pengarah Pendidikan Melaka, Dr Mohd Azam Ahmad) mengalu-alukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri 2021 di sini hari ini.

Hadir sama Exco Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin dan Dr Azam.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan cadangan Dr Akmal untuk mewajibkan semua guru, kakitangan sokongan dan pekerja swasta di semua sekolah berasrama menjalani RTK saliva setiap minggu untuk menjamin keselamatan pelajarnya.

Beliau turut akan mencadangkan perkara itu untuk dibincangkan pada mesyuarat Exco pada Rabu lalu khususnya ketika Malaysia sudah merekodkan kes pertama varian dibimbangi (VOC), Omicron.

Cadangan itu juga susulan kebimbangan wujud beberapa kes jangkitan Covid-19 di sekolah berasrama yang dipercayai berpunca daripada guru atau kakitangan sekolah terbabit.

Mengulas lanjut, Sulaiman berkata, cadangan itu perlu diperhalusi memandangkan kes jangkitan pelajar di sekolah asrama belum di tahap membimbangkan dan hanya satu kes diterimanya.

“Belum (tahap membimbangkan). Tidak, ia bergantung kepada kes dan setakat ini saya difahamkan hanya terdapat satu kes jangkitan Covid-19 berlaku di sekolah berasrama di Selandar.

“Sekolah lain, tiada laporan sampai ke pada saya, jadi mungkin Exco Kesihatan kena maklumkan atau nasihatkan saya mengenainya,” katanya.

Pada 2 Disember lalu, Rais melaporkan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Selandar merekodkan kes pertama positif Covid-19 membabitkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Lima.

Kes terbabit bagaimanapun berjaya dikawal dan pelajar berkenaan telah dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) MITC Ayer Keroh.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Melaka cadang wajibkan guru, kakitangan sekolah berasrama lakukan RTK mingguan