BUKIT GELUGOR – Dekati rakyat dengan cara berhemah dan bijak menerusi media sosial bagi menyampaikan perjuangan UMNO.
Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim mahu ahli akar umbi menunjukkan kebaikan parti secara berterusan dan berpanjangan.
“Tunjukkan keikhlasan kita menerusi kepenggunaan media sosial yang lebih menyakinkan, kreatif dan mempunyai tarikan membina.
“Untuk makluman, aktiviti masyarakat di negara ini merekodkan 28 juta pengguna media sosial atau 86 peratus daripada penduduk di negara ini.
“Memang banyak dan terlalu aktif. Tidak tidur kepenggunaan media sosial ini. Jadinya, jentera Wanita UMNO cawangan perlu menjadikan media sosial sebagai kempen yang aktif dalam norma baharu,” katanya sewaktu berucap di persidangan perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Bukit Gelugor, Pulau Pinang hari ini.
Persidangan ketiga-tiga sayap UMNO Bahagian Bukit Gelugor dirasmikan ketua bahagiannya, Datuk Omar Faudzar.
Norliza yang juga Ketua Pergerakan Wanita UMNO Pulau Pinang dan Bahagian Bukit Gelugor berkata, platform media sosial dilihat berguna semasa PRN Melaka apabila kempen dan ceramah politik secara fizikal tidak dibenarkan dan terhad dalam keadaan tertentu.
“Maka pendekatan lain yang perlu dipraktiskan ialah membuat posting merayu, memujuk, meraih undi dan simpati kepada pengundi menerusi media sosial.
“Ramai yang menggayakan diri cara menyampaikan sesuatu, berkempen atau mengetengahkan sesuatu isu dan pandangan dengan cara bervideo.
“Secara kreatif, ada yang melawak, ada yang menyajikan fakta serta slide video yang menarik. Ini semua perlu kita membiasakan diri dengan lebih menarik lagi,” ujarnya
Menurutnya, pendekatan tersebut mungkin boleh digunapakai dahulu tetapi bagi generasi sekarang terutama kelompok UNDI18 sekarang mereka mahu tahu apa yang boleh UMNO dan BN laksanakan dan bukan apa yang telah serta pernah dilaksanakan.
“Yang pasti, landskap politik tanahair amat berlainan dengan aliran maklumat yang bebas samada melalui media masa atau media baharu.
“Pemodenan negara dengan infrastruktur canggih seperti jalur lebar dan telekomunikasi mudah alih bukan hanya meningkatkan produktiviti ekonomi negara tetapi juga memberi kesan kepada kesedaran dan kematangan politik rakyat,” katanya lagi.
Menurut Norliza, Pilhan Raya Umum Ke-15 adalah gelanggang penentu yang membuktikan sejauh manakah rakyat dan pengundi menerima UMNO dan Barisan Nasional untuk kembali menerajui negara.
“Kita berhadapan dengan pengundi yang celik isu semasa, pengundi yang berpendidikan dan pengundi yang terdedah kepada dunia bermaklumat.
“Saya percaya dan penuh yakin cara Wanita UMNO cawangan berinteraksi perlu lebih ke depan dengan telefon bimbit masing-masing.
“Bukan setakat Whatapps semata-mata atau Facebook, tetapi saya mahu semua di sini perlu ada Twitter, perlu ada Instagram, perlu ada WeChat mahu pun Telegram dan paling trending sekarang ini, perlu ada akaun TikTok,” katanya.- MalaysiaGazette