Home Politik Jadikan mesyuarat UMNO pentas muhasabah diri – Asyraf

Jadikan mesyuarat UMNO pentas muhasabah diri – Asyraf

Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO  mengingatkan ahli akar umbi agar tidak terlalu gembira sehingga alpa dengan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, walaupun kemenangan itu merupakan hadiah istimewa kepada ahli yang bersidang pada mesyuarat perwakilan bermula hari ini namun ia hanya secara kebetulan.

“Benar, mesyuarat perwakilan UMNO bahagian hari ini adalah istimewa kerana kebetulan dilakukan sejurus kemenangan BN pada PRN Melaka.

“Tetapi, kejayaan itu tidak sesekali harus menjadikan UMNO kembali alpa, leka jauh sekali sombong dan angkuh.

“Selamat bersidang dan bermesyuarat kepada semua perwakilan Wanita, Pergerakan Pemuda, Pergerakan Puteri di 191 Bahagian UMNO seluruh negara,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Tiga sayap UMNO itu mula bermesyuarat hari ini hingga esok diikuti perwakilan bahagian pada 18 Disember dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 pada 13 hingga 15 Januari tahun depan.

Asyraf Wajdi berkata, mesyuarat kali ini harus dijadikan pentas untuk sayap parti melakukan muhasabah dan koreksi diri bagi merencanakan segala tindakan dan gerak kerja yang lebih bersepadu.

Katanya, gerak kerja itu ialah mendekati dan menyantuni rakyat yang ketika ini masih dilanda keresahan serta kesempitan akibat pandemik Covid-19 yang belum berakhir.

Menurut beliau, persidangan kali ini juga sebagai medan untuk mengembalikan keteguhan saf dan iltizam perjuangan agar tidak mudah tergelincir daripada agenda sebenar perjuangan parti keramat UMNO.

“Semoga Allah rahmati dan berkati perjuangan kita semua. Kepada-Nya juga kita berserah dan mengharapkan petunjuk, inayah dan pertolongan,” katanya. – MalaysiaGazette