Home Nasional MHO desak siasatan telus jika benar ada ‘kartel’ di Jabatan Imigresen

MHO desak siasatan telus jika benar ada ‘kartel’ di Jabatan Imigresen

Datuk Hishamuddin Hashim, the Secretary-General of the Malaysia International Humanitarian Organization (MHO)
Datuk Hishamuddin Hashim

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendesak pihak berwajib supaya menyiasat secara mendalam dakwaan isu kartel yang membabitkan anggota serta pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Bercakap kepada MalaysiaGazette, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hassim berkata, dakwaan tersebut tidak sepatutnya dipandang begitu remeh sahaja.

Sebaliknya kata Hishamuddin, hanya siasatan telus dan mendalam sahaja dapat memastikan imej jabatan dapat dibersihkan daripada dakwaan tersebut yang juga sebenarnya mengundang kebimbangan umum.

Malah, katanya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga patut masuk campur dalam siasatan dalaman itu selain pihak jabatan sendiri. 

“Ini bukan perkara main-main, tuduh-tuduh dakwa-dakwa begitu sahaja. Ini serius dan perlu di ambil serius oleh semua pihak berwajib, ini soal integriti JIM. Ingat itu.

“Siasatan mestilah tertumpu pada segelinitr pihak yang disyaki terlibat sahaja dan bukannya melibatkan keseluruhan jabatan.

“Malah ianya juga perlu diperluaskan kepada pelbagai pihak seperti vendor dan agensi swasta lain yang terlibat sama dalam perkhidmatan JIM,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mendedahkan pihaknya kini sedang menyiasat dakwaan kononnya wujud kartel dalam pelbagai peringkat pegawai di Jabatan Imigresen.

Menurutnya, beliau mengakui menerima maklumat itu dan memberi jaminan perkara itu akan disiasat dengan rapi dan telus.

Sambil memuji peranan dan kejayaan-kejayaan besar oleh JIM sejak kebelakangan ini, kata Hishamuddin dakwaan seumpama ini tidak sepatutnya menjadi titik hitam.

“MHO melihat banyak kejayaan dicapai Jabatan Imigresen sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini termasuk dari segi penyampaian perkhidmatan. Kita rasa isu penyelewengan dan salah guna kuasa dalam jabatan itu tidak begitu besar dan hanya melibatkan segelintir pegawai,” jelasnya.

Kata beliau lagi, MHO berpandangan sepatutnya masyarakat menyokong dan menghargai usaha baik dan khidmat cemerlang jabatan itu yang menuju ke taraf dunia.

“Usaha dengan memberi kesedaran dan pendidikan di samping budaya integriti perlu sentiasa diterapkan dalam semua aspek operasi urus niaga jabatan.

“Salah satu yang ketara dengan aplikasi e-government dalam penyampaian perkhidmatan di imigresen menunjukkan iltizam pengurusan tertinggi jabatan dengan meminimumkan ruang dan peluang kadar rasuah amatlah dipuji di samping ia memudahkan kehidupan rakyat ketika ini,” tegasnya. -MalaysiaGazette