KUALA LUMPUR – Tiada istilah putus asa buat penyerang Penang FC, Muhammad Jafri Firdaus Chew walaupun kehadirannya diragui sebahagian besar peminat selepas bergelut mendapatkan prestasi terbaik di awal musim.
Setelah bekerja keras dalam latihan bagi mendapatkan rentak, Jafri berjaya menemui sentuhan sebenar pada kempen TM Piala Malaysia 2021 sekaligus membuka ruang buat dirinya untuk terus ditawarkan tempat bersama Penang FC pada musim depan.
Tambahnya, dia bersyukur kerana akhirnya menemui semangat serta keyakinan yang hilang dalam dirinya ekoran setahun tidak beraksi apabila dilepaskan Kedah sebelum musim 2020 bermula.
“Cukup menggembirakan apabila Penang FC terus berikan ruang untuk beraksi selepas saya mula dapat keyakinan malah harap diberi minit permainan yang cukup bagi terus buktikan kemampuan saya.
“Saya tahu ramai pada mulanya tidak gembira dengan prestasi saya apabila melihat aksi berdepan Kedah di Liga Super yang merupakan aksi sulung selepas setahun tidak bermain secara kompetitif.
“Terus terang pada waktu itu saya sangat bergelut mahu dapatkan rentak, selepas perlawanan itu barulah perlahan-lahan saya bina semula keyakinan.
“Saya menerima kritikan yang dilemparkan oleh penyokong Penang FC sama ada baik atau buruk malah masa yang sama saya mahu ucapkan terima kasih kepada mereka yang terus percaya dengan kemampuan saya.
“Saya kini sudah menjadi seorang pemain yang berbeza dan bersyukur setelah kerja keras dalam sesi latihan serta bantuan rakan-rakan serta jurulatih, semangat saya kini sudah semakin tinggi dan percaya atas kemampuan diri sendiri, ” katanya.
Musim ini menyaksikan Jafri menjaringkan dua gol bersama Penang FC dengan satu di Liga Super dan satu di pentas TM Piala Malaysia 2021.
Berusia 24 tahun, Jafri yang merupakan salah seorang produk Harimau Muda pernah beraksi dengan Pulau Pinang pada 2016 dan 2017 sebelum berhijrah ke PKNS pada dua musim berikutnya.
Namun selepas ambil keputusan menyertai Kedah pada musim 2020, kecederaan yang menimpanya semasa berdepan PJ City dalam satu perlawanan persahabatan menyebabkan dia dilepaskan oleh Kedah.
Sudah melupakan detik pahit dalam kariernya, Jafri berazam mahu terus memperbaiki pencapaian Penang selepas berjaya menamatkan cabaran di tempat ketiga Liga Super musim ini walaupun dijangka sebahagian besar skuad Harimau Kumbang akan berubah wajah.
“Ini adalah lumrah dalam bola sepak apabila pemain datang dan pergi kerana tiada mana-mana pemain yang kekal dalam pasukan.
“Musim depan memang ramai pemain yang keluar tetapi saya percaya dengan perancangan pihak pengurusan apabila membawa pemain baharu yang mungkin berikan kesan lebih baik kepada pasukan,” katanya. – MalaysiaGazette