Home Sukan Status SUKMA 2022 diketahui bulan depan

Status SUKMA 2022 diketahui bulan depan

SUKMA dan Para SUKMA Johor 2020 dibatalkan.

PUTRAJAYA – Status penganjuran temasya sukan terbesar negara, Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur dijangka diumumkan Majlis Sukan Negara (MSN) hujung bulan ini.

Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) Dr Hasnul Faizal Hushin Amri berkata pihaknya akan mengemukakan kertas kerja mengenai penganjuran temasya itu untuk dibentangkan pada mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat.

“Sekiranya kita sudah menerima jawapan daripada Kabinet, cadangan itu akan dipanjangkan kepada Jawatankuasa Teknikal, seterusnya Jawatankuasa Tertinggi SUKMA akan memutuskan jenis sukan, lokasi dan bajet yang diperlukan.

“Selepas itu, MSN akan mengumumkan perkara itu (perancangan SUKMA) kepada semua negeri dan daripada itu kita akan mula menyusun semula perancangan sedia ada,” katanya kepada Bernama selepas majlis perasmian Simposium Perubatan Ragbi Malaysia di sini hari ini.

Dr Hasnul pada masa sama turut memaklumkan cadangan lokasi penganjuran SUKMA 2022 adalah di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya namun perkara itu belum disahkan Jawatankuasa Tertinggi SUKMA.

“Kami ada terima maklumat lokasi penganjuran di sekitar Selangor, sebahagian Kuala Lumpur dan sebahagian tempat mungkin di Putrajaya, tetapi lokasi utama akan diadakan di Bukit Jalil,” katanya.

Pada Oktober lalu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memutuskan SUKMA 2020 di Johor yang sepatutnya berlangsung dari 2 hingga 10 April 2021 ditangguhkan ke 2024.

Bagaimanapun, KBS bersetuju supaya MSN menganjurkan SUKMA di Kuala Lumpur pada tahun depan.

Mengenai program julung kali hari ini, Pengarah Perubatan dan Kebajikan Ragbi Malaysia, Dr Nik Haziman Wan Hamat berkata penganjurannya adalah sebagai platform kepada atlet dan orang ramai didedahkan dengan ilmu pengetahuan perubatan sukan terutamanya ragbi.

Beliau berkata program itu berjaya menghimpunkan 110 peserta dan sembilan penceramah akademik World Rugby.

Program yang sepatutnya diadakan pada tahun lepas itu terpaksa ditangguhkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – BERNAMA