KUALA LUMPUR – Ekuiti tempatan menyaksikan aliran keluar bersih minggu ketiga berturut-turut walaupun pada kadar yang lebih perlahan minggu lepas.
Berdasarkan data daripada Bursa Malaysia, pelabur asing menjual RM383.76 juta bersih ekuiti tempatan minggu lepas, berbanding RM550.90 juta bersih pada minggu sebelumnya.
MIDF Research berkata, ketika pasaran dibuka semula Isnin lepas, pelabur institusi dan peruncit tempatan masing-masing menjadi pembeli bersih berjumlah RM133.90 juta dan RM57.93 juta.
Sementara itu, pelabur asing menjadi penjual bersih sebanyak RM191.82 juta.
Menurut firma penyelidikan itu, pelabur asing adalah penjual bersih untuk setiap hari dalam seminggu.
Aliran keluar asing terbesar dicatatkan pada hari Isnin dan paling sedikit pada hari Khamis sebanyak RM14.82 juta.
Pelabur runcit adalah pembeli bersih setiap hari untuk minggu itu dengan belian bersih terbesar oleh peruncit dicatatkan pada hari Jumaat sebanyak RM72.13 juta.
Bagi minggu ini, pelabur runcit melakukan belian bersih bernilai RM222.60 juta di Bursa Malaysia.
Sementara itu, institusi tempatan merekodkan belian bersih mingguan terkumpul sebanyak RM161.17 juta.
Pelabur institusi adalah pembeli bersih untuk semua hari dalam seminggu kecuali pada hari Khamis.
Katanya, belian bersih terbesar pada hari Isnin berjumlah RM133.90 juta, manakala satu-satunya aliran keluar bersih pada Khamis sebanyak RM14.21 juta.
Sejak awal tahun 2021, secara kumulatif, pelabur runcit merupakan satu-satunya pembeli bersih pasaran ekuiti dengan nilai RM12.32 bilion manakala pelabur institusi dan pelabur asing adalah penjual bersih masing-masing pada sebanyak RM9.53 bilion dan RM2.78 bilion.
Dari segi penyertaan, pelabur runcit, institusi tempatan dan pelabur asing mencatat pergerakan mingguan masing-masing sebanyak -48.45%, -48.93% dan -69.45% dalam purata nilai dagangan harian (ADTV). – MalaysiaGazette