Home Nasional Aset milik Sajat mula dilelong pagi esok – Peguam

Aset milik Sajat mula dilelong pagi esok – Peguam

Cosmetic entrepreneur, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman or Nur Sajat. foto arkib MalaysiaGazette
Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman

KUALA LUMPUR – Aset milik usahawan kosmetik kontroversi, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat bakal dilelong esok bermula pada pukul 10.30 pagi.

Berdasarkan pengisytiharan jualan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 8 Disember lalu, lelongan awam itu akan diadakan di rumah Sajat di No. 2, Jalan Polo 10/3, Kota Damansara, Petaling Jaya.

Menurut peguam, Nurul Hafidzah Hassan dan Zeti Zulkifli dari firma guaman NHA Advocates & Solicitors, tindakan itu dibuat apabila Sajat gagal membuat bayaran pampasan setelah writ penyitaan ditampal di premisnya pada 14 Disember.

“Pihak defendan tidak membuat pembayaran setelah writ penyitaan dan penjualan ditampal di premis miliknya.

“Maka mahkamah telah pun meluluskan permohonan plaintif agar semua barang yang disita supaya dilelong esok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Nurul Hafidzah berkata, lelongan aset berkenaan merupakan cara penyelesaian bagi menebus pampasan yang perlu dibayar oleh pihak defendan.

Ini kerana Nurwati Hussin, 41, bersama Mohamed Syakir Hussin, 32, dari OWA Resources yang merupakan bekas stokis utama perniagaan bengkung dan girdle milik Sajat cuba mendapatkan semula wang mereka setelah pampasan sebanyak RM200,000 gagal dibayar usahawan terbabit.

“Nurwati dan Syakir bersyukur kerana nama mereka kini telah dibersihkan dan diberi peluang menetapkan kebenaran mengenai apa yang berlaku.

“Mereka juga lega kerana pembohongan dan fitnah yang dilemparkan oleh Sajat kini diketahui oleh semua dan hanya satu helah dengan memanipulasi fakta,” ujarnya.

Tambah Nurul Hafidzah lagi, keputusan mahkamah adalah testimoni bahawa sistem perundangan negara bersetuju dengan hujahan dan bukti-bukti yang telah dibentangkan oleh plaintif.

Justeru katanya, orang ramai yang ingin membeli senarai barang-barang yang akan dilelong boleh hadir ke alamat seperti yang tertera. – MalaysiaGazette