Home Nasional Kilang seleweng minyak masak bersubsidi kena serbu KPDNHEP

Kilang seleweng minyak masak bersubsidi kena serbu KPDNHEP

Sebuah syarikat pemborong yang menyalahgunakan lesen borong dengan menyeleweng minyak masak bersubsidi sebagai minyak industri telah diserbu dan disita di rawang hari ini. -Gambar Ihsan KPDNHEP Putrajaya.

KUALA LUMPUR – Tindakan sebuah syarikat pemborong yang menyalahgunakan lesen borong yang baru diperoleh pada Mac lalu dengan melakukan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi, akhirnya terbongkar.

Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berjaya menghidu kegiatan itu menerusi operasi yang dijalankan di sebuah syarikat pemborong berlesen di Rawang, Selangor hari ini.

Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP Putrajaya, Azman Adam berkata, syarikat itu mempunyai lesen borong barang kawalan yang masih dalam tempoh sah disyaki  menggunakan premisnya untuk memindahkan minyak masak peket ke dalam bekas minyak masak industri sebelum dipasarkan.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan di dalam premis pemborong itu menemui lebih kurang 8,500 kilogram minyak masak bersubsidi paket 1kg disyaki untuk diseleweng.

Sebuah syarikat pemborong yang menyalahgunakan lesen borong dengan menyeleweng minyak masak bersubsidi sebagai minyak industri telah diserbu dan disita di rawang hari ini. -Gambar Ihsan KPDNHEP Putrajaya.

“Kita juga menyita dua unit tangki berkapasiti 250 metrik tan masing-masing yang bersambungan berisi sejumlah 19,120 kilogram minyak, sisa plastik minyak masak bersubsidi paket 1kg yang telah digunting, peralatan untuk pemindahan minyak masak bersubsidi ke dalam tangki industri dan sebuah lori,” katanya dalan kenyataan di sini.

Nilai rampasan itu dianggarkan sebanyak RM203,750.00.

Tambah beliau, sindiket berkenaan telah beroperasi hampir sembilan bulan yang lalu, sejak mendapat lesen borong pada penghujung bulan Mac 2021 dengan mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi paket 1kg daripada pemborong-pemborong berlesen.

Sindiket berkenaan meleraikan minyak masak bersubsidi paket 1kg ini dengan menggunakan mesin dan dikumpulkan di dalam dua unit tangki berkapasiti 250 metrik tan yang bersambungan untuk dipasarkan sebagai minyak masak industri.

Pengarah syarikat berumur 20 tahun yang berada di dalam premis kejadian juga ditahan bagi membantu siasatan.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan minyak masak dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah 13 (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Sebuah syarikat pemborong yang menyalahgunakan lesen borong dengan menyeleweng minyak masak bersubsidi sebagai minyak industri telah diserbu dan disita di rawang hari ini. -Gambar Ihsan KPDNHEP Putrajaya.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, dan bagi syarikat, sekiranya sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3 juta.

Azman menegaskan, KPDNHEP tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti ini dan akan mengambil tindakan tegas di bawah peruntukan undang-undang.

Beliau turut menyeru orang awam untuk memberikan kerjasama dengan pihak kerajaan menyalurkan maklumat dalam usaha untuk membanteras aktiviti penyelewengan barang
bersubsidi termasuk minyak masak.

Semua aduan boleh dikemukakan melalui saluran Whatsapp 019-279 4317, Portal e-aduan.kpdnhep, Call Centre 1-800-886-800, Emel [email protected], Ez ADU KPDNHEP dan Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088/6245. – MalaysiaGazette