KUALA LUMPUR – DAP kesal kerana Tun Dr Mahathir Mohamad telah menggambarkan penggunaan penyepit (chopstick) oleh masyarakat Cina sebagai analogi kegagalan kaum Cina untuk berasimilasi di negara ini.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mengecam kenyataan Mahathir itu berkata, penduduk bukan Melaku perlu diintegrasikan dan bukan diasimilasi, menyifatkan komen itu sebagai menyinggung perasaan orang Cina.
Katanya, bukan sahaja penduduk China atau Taiwan sahaja menggunakan penyepit tetapi penduduk di Jepun, Korea Selatan dan Vietnam juga menggunakan alat itu.
”Memandangkan Tun adalah penyokong Dasar Pandang ke Timur yang merangkumi negara-negara ini, Tun tidak pernah mengungkit soal makan dengan menggunakan penyepit sebagai isu.
”Adakah itu bermakna Melayu yang menggunakan penyepit atau garfu dan sudu untuk makan hilang kemelayuannya? Malah, ramai rakyat Malaysia dan barat bukan Cina berbangga dengan kebolehan mereka menggunakan kedua-dua penyepit serta garfu dan sudu tanpa kehilangan identiti negara mereka,” katanya.
Tambahnya, makan dengan penyepit tidak menjadikan sesiapa pun kurang nilai sebagai rakyat Malaysia.
Malah rakyat Malaysia berketurunan Cina yang dilahirkan di sini berbangga dengan kesetiaan mereka kepada Malaysia dan tidak berhasrat untuk kembali ke negara China yang berkembang dengan kekayaan dan kemakmuran, walaupun diberi peluang untuk berbuat demikian.
”Masyarakat Cina di Malaysia sentiasa mengenali dirinya dengan Malaysia dan tidak pernah dengan China. Malah 2 juta rakyat Malaysia yang berhijrah, sama seperti orang Melayu dan India lain, memilih negara barat kerana prospek gaji yang lebih baik dan peluang yang sama,” ujarnya.
Secara sinis, Guan Eng berkata, menolong seorang atau dua taikun Cina adalah seperti membantu mana-mana taikun dari kaum lain dan tidak boleh disamakan dengan membantu masyarakat Cina.
Selain itu, sumbangan masyarakat Cina tidak seharusnya dipersoalkan atau didiskriminasikan hanya kerana perbezaan bahasa, adat, nama, gaya hidup mahupun cara pemakanan mereka.
Masalahnya ialah apabila ahli politik enggan menerima siapa mereka dan lebih berminat dengan siapa mereka dan dari mana mereka datang.
”Masyarakat Cina melihat diri mereka sebagai rakyat Malaysia tetapi malangnya ada pihak yang tidak mahu menerima hakikat ini. Sudah tiba masanya untuk menghapuskan prasangka dan perpecahan itu dengan menerima masyarakat Cina sebagai warganegara Malaysia yang mempunyai hak penuh seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
“Barulah kita boleh bekerjasama untuk merealisasikan potensi penuh kita untuk menjadikan Malaysia lebih adil, makmur, bebas dan menegakkan keadilan untuk semua,” kata Guan Eng. – MalaysiaGazette