Home Nasional Pakej Rangsangan Ekonomi bantu sektor pelancongan di Perak

Pakej Rangsangan Ekonomi bantu sektor pelancongan di Perak

Ahli Dewan Negeri Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi pada Persidangan Dewan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan. Foto AMIRUL SHAUFIQ 13 disember 2021. Foto URUSETIA DEWAN NEGERI PERAK 13 DISEMBER 2021

IPOH – Kerajaan Perak telah menyalurkan bantuan dan insentif melalui Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) bagi memastikan sektor ekonomi dan sosial negeri itu dapat dipulihkan secara berperingkat.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, pakej itu melibatkan antaranya bantuan kewangan one-off sebanyak RM700 kepada pemandu pelancong yang berlesen dan beroperasi.

Menurutnya lagi, bantuan kewangan one-off juga disediakan sebanyak RM2,000 kepada syarikat agensi pelancongan dan pengembaraan berdaftar dan beroperasi.

Jelas beliau, tidak dilupakan persatuan atau pertubuhan bukan kerajan (NGO) berkaitan pelancongan di mana pengusaha hotel yang berdaftar di bawah Persatuan Hotel Malaysia (MAH) yang menerima bantuan kewangan one-off sebanyak RM10,000.

“Di bawah PRE ini, bantuan one-off sebanyak RM2,000 turut diberikan kepada pengusaha hotel bajet yang berdaftar di bawah Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) selain bantuan one-off kepada ahli pengusaha hotel dan resort di Pulau Pangkor yang berdaftar dengan persatuan berkaitan.

“Selain itu, turut disediakan bantuan one-off sebanyak RM400 kepada pemandu-pemandu bot pelancongan di Teluk Intan, Kuala Sepetang, Taiping, Pulau Pangkor, Temenggor dan sebagainya); bantuan one-off sebanyak RM2,000 kepada 11 homestay dan bantuan one-off sebanyak RM2,000 kepada 35 syarikat umrah, haji dan ziarah yang berdaftar di bawah Persatuan Umrah Haji dan Ziarah (PUHAZ) Negeri Perak.

“Dengan adanya bantuan seperti ini, sekurang-kurangnya dapat meringankan sedikit beban penggiat-penggiat industri yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau menjawab soalan Dr Ko Chung Sen (PH-Kepayang) dalam persidangan Dewan Undangan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Nolee Ashilin menambah, selain daripada itu, kerajaan negeri juga telah merancang dan melaksanakan beberapa program pemulihan sektor itu dari beberapa aspek antaranya menerusi pembangunan pakej dengan mengadakan program kerjasama strategik bersama Kerajaan Persekutuan melalui Tourism Malaysia.

Kata beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Negeri (ADUN) Tualang Sekah, ia melibatkan penyediaan pakej-pakej pelancongan yang melibatkan hotel-hotel dan resort bagi empat negeri di utara seperti Perlis, Kedah,  Pulau  Pinang  termasuk Perak.

Menurutnya, program itu telah dilaksanakan pada 16 November lalu di Hotel Casuarina@Meru di mana Perak telah diberi penghormatan untuk menjadi hos bagi program tersebut.

“Selain itu, program pemulihan melibatkanm aspek pemasaran dan promosi menerusi enyertaaan dalam expo pelancongan domestik seperti MATTA Fair di World Trade Centre Kuala Lumpur, Jom Travel Fair di AEON Melaka dan Program Business Matching.

“Promosi dan pemasaran secara digitalisasi menjadi platform utama dalam mempromosikan negeri Perak termasuk seperti Facebook, TikTok, Twitter dan sebagainya.

“Promosi hotel-hotel dan resort-resort diteruskan dengan menyenaraikan hotel-hotel yang berdaftar dengan persatuan-persatuan yang berkaitan dengan pelancongan di dalam e-brosur Pakej Pelancongan.

“Program-program promosi dan pemasaran juga akan melibatkan Key Opinion Leader (KOL), pempengaruh media yang mampu menarik orang ramai untuk datang ke Perak,” katanya.

Nolee Ashilin turut memberitahu, pemerkasaan perkhidmatan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) melalui pembinaan imej dan praktis turut ditekankan dalam program pemulihan yang telah dijalankan.

Beliau berkata, ia melibatkan pematuhan amalan baik pengendalian premis dan produk pelancongan yang mana ianya telah ditambah baik daripada kriteria penilaian sebelum ini untuk mempertingkatkan keyakinan pelancong agatr datang berkunjung ke Perak.

Menurutnya, apa yang membanggakan Perak, telah memenangi anugerah ‘Best Safer Destination’ di Malaysia Tousrism Gold Awards pada minggu lalu.

“Selain itu, program pemulihan juga melibatkan insentif dengan meneruskan diteruskan subsidi yang diberikan kepada pelbagai sector industri pelancongan melalui  baucar #travelperaklah.

“Program baucar pelancongan Perak juga diperkenalkan dan telah dilanjutkan penggunaan dan penebusannya sehingga Jun 2022 dengan memberikan tawaran promosi kepada pelancong. 

“Bagi memeriahkan lagi, Kerajaan Negeri melalui Tourism Perak juga telah merancang beberapa program acara sehingga hujung tahun ini seperti Pangkor Sea Challenge dan Sambutan Ambang Tahun Baru.

“Tourism Perak juga telah menerima lebih kurang 100 penganjuran acara dari pelbagai pihak untuk dilaksanakan pada tahun 2022 untuk disenaraikan di dalam Kalendar Acara Tahun 2022 Negeri Perak untuk memeriahkan dan menarik pelancong ke Negeri Perak.

“Kalendar Acara ini akan dikemaskini dari semasa ke semasa dan antara acara yang diketengahkan bagi memeriahkan menarik kedatangan pelancong adalah seperti Pesta Songkran yang dijangka akan diadakan pada 11 hingga 13 April 2022, Pesta Laut Lumut Pangkor yang dijangka diadakan pada 19 hingga 23 Oktober 2022 dan Lumut International Boat Show pada 11 dan 12 Disember 2022. – MalaysiaGazette