Home Politik Pas-UMNO diterima semula rakyat selepas termeterai Piagam Muafakat Nasional

Pas-UMNO diterima semula rakyat selepas termeterai Piagam Muafakat Nasional

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri

SHAH ALAM – Pas diingatkan tidak melupakan detik penting ketika bersama UMNO apabila kerjasama kedua-dua parti itu diterima semula rakyat bermula Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada 26 Januari 2019.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Mohd Dendera Billah Zamzuri berkata, lebih manis lagi apabila satu demi satu siri kemenangan dicatatkan selepas termeterai Piagam Muafakat Nasional (MN) pada 14 September 2019.

“Ketika itu Allah swt ilhamkan kepada ahli dan pemimpin UMNO dan Pas untuk bermuhasabah diri, renungkan kembali sejarah Islam peperangan sesama Islam iaitu Perang Siffin, peperangan ini berpunca kerana fitnah.

“Dengan mengambil kisah sejarah, maka duduklah pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO dan Pas mencari satu titik persamaan. Pada tanggal 14 September 2019 maka termeterailah Piagam MN.

“UMNO dan Barisan Nasional (BN) kembali diyakini rakyat mulai PRK Cameron Highland sehingga ke PRK Slim River, hasil daripada Piagam MN, kejayaan demi kejayaan berjaya diperolehi,” katanya pada Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, di sini, semalam.

Beliau juga mengingatkan Pas bahawa Piagam MN termeterai selepas pentadbiran negara pincang serta kepentingan umat Islam dan orang Melayu dipinggirkan ketika 22 bulan pemerintahan Pakatan Harapan (PH) selepas PRU14 lalu.

“Saya ingin ingatkan kembali apa yang telah berlaku dan kita rasai begitu perit semasa 22 bulan. Segala aset negara dirompak begitu sahaja tanpa sempat diadili oleh sesiapa.

“Dengan segala masalah penjualan aset yang berlaku dan perebutan kuasa sesama mereka, Perdana Menteri ketika itu Tun Dr Mahathir Mohamad tidak dapat mengawal kerajaan yang dibina dan akhirnya terus meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh.

“Kena ingat siapa yang khianat mandat rakyat! Kerajaan PH, kawan-kawan kenal siapa mereka? Mereka ini DAP, Bersatu, Amanah dan PKR.

“Mereka ini yang telah mengkhianati mandat rakyat. Ini belum lagi kita cerita isu perkauman, isu agama dan lain-lain lagi,” katanya.

Mohd Dendera Billah turut mengingatkan akar umbi dan kepimpinan UMNO agar terus memperkukuh kembali parti Melayu itu sebelum menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) termasuk menangguh pemilihan parti, tahun ini.

“Dengan buku laporan prestasi yang baik dan kemenangan pada PRN Melaka serta mood rakyat semakin baik kepada UMNO-BN, diharapkan agar PRU15 dapat dilakukan sebelum pemilihan parti pada Disember 2022.

“Kepimpinan tertinggi UMNO perlu berani melakukan perubahan mengikut peredaran zaman dan generasi serta mengambil kira pandangan akar umbi dan rakyat,” katanya.

Katanya, menjelang PRU15 yang boleh diadakan pada bila-bila masa dari sekarang, UMNO perlu meneruskan strategi kemenangan PRN Melaka dengan menampilkan calon anak muda dan muka baharu bagi memenangi pilihan raya.

“UMNO perlu berani menampilkan muka baru untuk diketengahkan sebagai calon PRU15 dan paling utama calon ini perlu mempunyai tiga kriteria yang telah ditetapkan oleh Presiden UMNO iaitu boleh menang, disukai atau mesra dan boleh diterima,” katanya. – MalaysiaGazette