KUALA LUMPUR – Notis merah yang diperolehi Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan dan menangkap , Low Teak Jho atau Jhow Low dan Nicky Liow adalah notis yang terhad untuk tatapan penguatkuasa itu sahaja.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, dengan penerimaan notis merah tersebut dari Polis Antarabangsa (Interpol), PDRM komited untuk mencari dan menahan kedua-dua individu yang sangat dikehendaki itu secepat mungkin.
“PDRM telah memohon kepada pihak Interpol dan memperolehi notis merah bagi dua penama berikut iaitu Low Taek Jho (Jho Low) dan Nicky Liow Soon Hee.
“Notis merah untuk Jho Low adalah bertarikh 11 Jun 2018 dan notis untuk Nicky Liow adalah bertarikh 20 April 2021,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Tambah beliau, terdapat dua kategori notis merah Interpol, iaitu kategori pertama adalah yang boleh dikongsi bagi paparan dan makluman awam manakala terdapat notis merah yang dihadkan untuk diakses agensi-agensi penguatkuasa.
Menurutnya, Ibu Pejabat Interpol merupakan pihak yang akan menentukan sama ada notis yang dikeluarkan bagi paparan umum atau tatapan agensi penguatkuasa, tertakluk kepada tahap keseriusan dan ancaman kepada awam.
“Kedua-dua notis merah yang dikeluarkan ke atas Jho Low dan Nicky Liow, adalah untuk tatapan agensi penguatkuasaan sahaja.
“PDRM kekal komited dalam usaha memastikan kedua-dua penama berkenaan dapat ditahan dan dibawa ke muka pengadilan,” ujarnya.-MalaysiaGazette