Home Nasional Penawar bakal ada litar motor

Penawar bakal ada litar motor

On Hafiz ( tengah) menyaksikan pameran Karnival Penawar Motoshow 2021 di Dataran Penawar,di Kota Tinggi di sini sambil disaksikan Sharifah Azizah ( dua dari kiri).

KOTA TINGGI – Kewujudan litar pemotoran di kawasan pedalaman diyakini mampu menarik minat anak muda menyertai aktiviti lasak itu berbanding lumba haram.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar Datuk Sharifah Azizah Syed Zain berkata, beliau yakin kewujudan litar pemotoran di kawasan Penawar satu masa nanti juga mampu menjadikan kawasan itu sebagai lokasi tumpuan orang ramai.
Katanya, cadangan pembinaan litar motor di Penawar itu masih di peringkat awal perbincangan.
“Penganjuran aktiviti sukan lasak seperti motocross dan sebagainya dapat menarik minat lebih ramai penggemar sukan itu dari dalam dan luar negara untuk datang ke Johor terutama di Penawar ini.
“Lebih utama, anak-anak muda ini ada tempat yang betul untuk mereka melakukan aktiviti sukan motor, tidaklah belia-belia ini berpeleseran, buat aktiviti rempit hingga membahayakan semua orang termasuk diri  sendiri.
“Saya sebenarnya telah ada cadangan untuk itu, tetapi kini kita masih lagi berbincang kerana banyak perkara yang perlu difikirkan termasuk lokasi sesuai.
Sharifah Azizah
”Tetapi itu adalah sasaran kita di Penawar yang mana satu hari nanti kita akan ada trak berlumba sendiri dalam skala sederhana,” katanya ketika di temui di Karnival Penawar Motoshow 2021 bertemakan Kita Rider Tiada Beza di Dataran Penawar di sini.
Turut hadir merasmikan program itu, Exco Pelancongan, Belia dan Sukan , Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Sharifah berkata, penganjuran itu berjaya mengumpulkan tidak kurang 300 peminat sukan motor dalam kalangan anak muda kawasan itu.
Menurut beliau, dalam penganjuran kali ini, peserta bukan sahaja tertumpu kepada motor semata-mata.
Sebaliknya pelbagai pengisian dilakukan untuk menjadikan mereka belia berwawasan.
“Untuk kali ini saya tidak mahu mereka hanya tumpu kepada motor siapa paling cantik di hias, motor siapa paling mahal. Tetapi kali ini, kita panggil pihak berkuasa seperti JPJ buat taklimat mengenai keselamatan di jalan raya.
“Lebih utama kita ikut SOP dan kita panggil juga KKM berkongsi ilmu kepada adik-adik untuk kesedaran bersama,” tambahnya.
Jelas beliau, aktiviti dalam konsep sederhana ini akan terus dilakukan untuk memberi ruang kepada anak muda menunjukkan bakat masing-masing.- MalaysiaGazette