Home Nasional Warga Bangladesh dalangi sindiket palsukan dokumen ditahan Jabatan Imigresen

Warga Bangladesh dalangi sindiket palsukan dokumen ditahan Jabatan Imigresen

Dua lelaki warga Bangladesh yang mendalangi sindiket yang menjadikan bilik di rumah apartmen sebagai pusat memproses dokumen perjalanan palsu berjaya ditumpaskan Imigresen Putrajaya.Gambar Ihsan JIM Putrajaya

KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan dua lelaki warga Bangladesh yang disyaki menjadi dalang sindiket pemalsuan kad Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan dokumen perjalanan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, suspek yang berumur 34 dan 37 tahun itu diberkas di sebuah apartment di Wangsa Maju, di sini, dalam operasi khas pada 6 Disember lalu.

“Operasi yang dijalankan pada jam 11 pagi ini merupakan rentetan dari tangkapan yang dilakukan pada 25 November 2021 lalu terhadap seorang lelaki warganegara Myanmar berusia dalam lingkungan 30-an yang merupakan orang perantaraan kepada sindiket ini.

“Semasa serbuan dilakukan, kedua-dua suspek sedang terlibat dalam kerja menyiapkan tempahan yang diterima iaitu pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan pasport.

“Kedua-dua suspek cuba melarikan diri setelah melihat serbuan penguatkuasa tetapi telah berjaya ditangkap oleh anggota serbuan, memandangkan kediaman berkenaan telah dikepung,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dua lelaki warga Bangladesh yang mendalangi sindiket yang menjadikan bilik di rumah apartmen sebagai pusat memproses dokumen perjalanan palsu berjaya ditumpaskan Imigresen Putrajaya.Gambar Ihsan JIM Putrajaya

Tambah Khairul, pemeriksaan di dalam apartmen yang diduduki suspek mendapati sebuah bilik digunakan untuk menghasilkan pelbagai jenis dokumen palsu.

Menurutnya, antara barang yang dirampas adalah set peralatan komputer, mesin pencetak kad dan beberapa peralatan yang digunakan untuk menghasilkan dokumen palsu.

“Pemeriksaan lanjut anggota penguatkuasa Imigresen turut menjumpai pelekat-pelekat keselamatan Imigresen, Kad CIDB dan pasport pelbagai negara seperti India, Bangladesh, Nepal dan Myanmar yang telah siap dicetak untuk diserahkan kepada pelanggan.

“Modus operandi sindiket adalah menggunakan orang tengah bagi mencari pelanggan yang memerlukan perkhidmatan mereka dan sasaran mangsa merupakan warganegara Bangladesh, Myanmar, Nepal dan India.

Dua lelaki warga Bangladesh yang mendalangi sindiket yang menjadikan bilik di rumah apartmen sebagai pusat memproses dokumen perjalanan palsu berjaya ditumpaskan Imigresen Putrajaya.Gambar Ihsan JIM Putrajaya

“Sindiket ini dikesan telah menjalankan kegiatan sejak setahun yang lalu dan mengenakan bayaran antara RM300 hingga RM500 bagi pelekat PLKS manakala bagi kad CIDB dan pasport bayaran dikenakan caj antara RM100 hingga RM300 setiap orang,” ujarnya.

Khairul Dzaimee berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 55D Akta Imigresen 1959/63 kerana kesalahan menghasilkan dokumen palsu dan seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas yang sah dan kedua-dua suspek ditahan di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut. – MalaysiaGazette