Home Nasional 5G: Khaled tanya Muhyiddin kenapa pemain industri tidak teruja

5G: Khaled tanya Muhyiddin kenapa pemain industri tidak teruja

Mohamed Khaled Nordin.

KUALA LUMPUR – Keyakinan pelabur telah pun terhakis disebabkan oleh keputusan kerajaan melaksanakan model model implementasi 5G negara, kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Pertama wujud intervensi kerajaan yang tidak sihat dalam industri yang sepatutnya dipacu sektor swasta.

Kedua, selain Telekom Malaysia, pemain-pemain industri belum menandatangani sebarang perjanjian dengan Digital Nasional Berhad (DNB).

Naib Presiden UMNO itu berkata, jika pihak industri tempatan sendiri tidak yakin dengan model yang dianjurkan kerajaan, bagaimana pula pelabur luar dapat diyakini.

Dan ketiga, pertikaian di Parlimen tentang keputusan unilateral Kementerian Kewangan dalam pembentukan DNB sebagai syarikat bertujuan khas (SPV) jelas menunjukkan berlakunya kekacauan dalam tadbir urus kementerian-kementerian yang terlibat.

Semua ini sudah pasti menyusutkan keyakinan pelabur, tegas beliau lagi.

Khaled berkata demikian bagi mengulas gesaan Tan Sri Muhyiddin supaya kerajaan tidak mengkaji semula model implementasi 5G negara.

Beliau menyifatkan kenyataan bekas perdana menteri itu amat memeranjatkan kerana membayangkan musibah yang bakal berlaku sekiranya model konsep rangkaian tunggal 5G atau Rangkaian Borong Tunggal (SWN) yang diterajui DNB dalam perlaksanaan 5G negara diubah.

Muhyiddin berhujah negara berdepan kehilangan keyakinan oleh pelabur asing.

Khaled turut mempersoalkan hujah Muhyiddin yang menyatakan negara akan kehilangan kos peluang kepada pihak industri sekiranya model ini tidak diteruskan.

Soal beliau, jika benar kos peluang sebegini realistik, mengapa sehingga sekarang masih tiada pemain industri yang teruja untuk bersama-sama terlibat dalam model usahasama ini.

Tegasnya, hujah Muhyiddin berkenaan kehilangan peluang dan sokongan pekerjaan juga adalah tidak berasas.

Tidakkah segala peluang pekerjaan dan sokongan infrastruktur ini akan tetap dapat dicipta sekiranya model asal yang dipelopori oleh pihak pemain industri dilaksanakan?, soal beliau lagi.

Malah dengan persaingan kualiti infrastruktur dan perkhidmatan, yang mendapat manfaat terbesar adalah rakyat sendiri.

Begitu juga alasan memelihara kepentingan kontraktor Bumiputera dalam menjustifikasikan gesaannya kerana model perlaksanaan berbentuk monopoli sebegini, yang mendapat manfaat tetap hanya beberapa pihak tertentu sahaja, terutamanya para kroni tokoh tertentu.

Oleh itu, agak menjengkelkan apabila alasan sebegini terus menerus digunapakai.

Akses kepada rangkaian internet yang berkualiti dan sentiasa terhubung semakin diiktiraf sebagai sebahagian daripada hak asasi manusia selari hak untuk pendidikan dan kebebasan peribadi.

Tegasnya, atas sebab itu, perlaksanaan agenda besar seperti implementasi 5G ini perlu segera diteliti terutamanya apabila pelaksanaannya dilihat sangat bercelaru seperti sekarang. – MalaysiaGazette