JAKARTA – Gempa bumi dengan 7.4 pada skala Richter melanda pantai wilayah Sulawesi Selatan, Indonesia menyebabkan orang ramai terpaksa keluar dari rumah dan bangunan.
Gempa bumi berlaku sekitar 10.30 waktu tempatan (03:30 GMT) pada Selasa di Laut Flores, turut menjejaskan wilayah Nusa Tenggara Timur, kata pegawai.
Tiada kecederaan atau kerosakan besar dilaporkan lagi tetapi penduduk tempatan berkata mereka merasakan gegaran besar.
Amaran tsunami untuk kawasan itu ditarik balik pada hari Selasa.
Video di media sosial menunjukkan orang ramai di kota Makassar kelam-kabut keluar dari kedai dan bangunan.
Terdapat laporan sebuah hospital dan hotel telah memindahkan pesakit dan pelanggan-pelanggannya.
Di Larantuka, sebuah bandar di wilayah Nusa Tenggara Timur, penduduk dikatakan berada dalam keadaan “panik”.
“Semua orang terkejut. Mereka lari keluar dari rumah mereka. Ada yang bersedia untuk lari ke bukit,” kata Takdir, seorang penduduk kepada BBC Indonesia.
Bagaimanapun, penduduk kembali menjalani aktiviti normal selepas tiada tanda-tanda tsunami.
Gempa bumi itu berlaku selepas 10 hari letusan gunung berapi Semeru di Pulau Jawa yang mengorbankan sekurang-kurangnya 46 orang. – BBC