KUALA LUMPUR – Hakim Mahkamah Tinggi hari ini menolak permintaan pendakwaan kes 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) yang dihadapi oleh Datuk Seri Najib Razak bagi perbicaraan perbicaraan secara hibrid.
Permohonan dibuat kerana perbicaraan beberapa kali terpaksa ditangguh kerana status aplikasi MySejahtera Najib serta peguam utamanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah masih lagi berwarna jingga dan kuning sekaligus tidak dibenarkan masuk ke dalam bangunan mahkamah.
Namun Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah merasakan belum ada keperluan untuk perbicaraan dikendalikan secara hibrid pada masa ini.
“Setelah meneliti hujah pendakwaan yang mahu prosiding dikendalikan secara hibrid, setelah saya fikirkan perkara ini dan teliti semua hujah saya rasa buat masa ini tidak perlu,” katanya hari ini.
Beliau berkata demikian setelah peguam yang mewakili Najib, Datuk Hariharan Tara Singh memberitahu Collin anak guamnya dan Muhammad Shafee tidak dapat masuk untuk mengikuti prosiding hari ini.
Kata Hariharan, status anak guam menunjukkan beliau di bawah kategori kontak kasual kerana Najib dan Muhammad Shafee telah mempunyai kontak dengan anak lelaki Muhammad Shafee iaitu Muhammad Farhan yang positif Covid-19 pada 6 Disember lalu.
“Tempoh kuarantin selama 10 hari akan berakhir esok,” kata Hariharan.
Najib ketika ketetapan ini berada di perkarangan mahkamah dalam kereta beliau memandangkan tidak boleh masuk ke dalam.
Semalam, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib memohon supaya perbicaraan kes itu dijalankan secara hibrid berikutan perubahan sebanyak dua kali pada status MySejahtera bekas Perdana Menteri itu dan peguamnya.
Dalam pada itu, Collin juga tidak menolak kemungkinan jika perbicaraan perlu dibuat secara hibrid pada masa depan.
“Mahkamah bagaimanapun tidak menolak perbicaraan (hibrid) dijalankan pada masa hadapan ikut keperluan,” ujarnya.
Collin kemudian menetapkan Khamis ini untuk sambung bicara yang dijangka akan diteruskan dengan soal balas terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Mohd Hazem Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Kewangan (CFO), Azmi Tahir yang merupakan saksi ke-12 dan ke-13 pendakwaan.
Najib pada masa ini sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama. -MalaysiaGazette