KUALA LUMPUR – Mengapa lantik Ralph Marshall, seorang yang dikaitkan dengan kes jenayah rasuah melibatkan jumlah ratusan juta di Mahkamah di India sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Digital Nasional Berhad (DNB), syarikat tunggal mengendalikan agenda 5G negara ini?
Itu persoalan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusukui.
Atas prinsip ketelusan juga, beliau mahu tahu siapakah lagi anggota lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi DNB.
“Apakah berkemungkinan wujud sebarang bentuk penyelewengan, ketirisan dan musibah rasuah apabila melantik secara tidak telus individu-individu yang dianggap kroni kepada beberapa kepimpinan parti politik?” soalnya dalam hantarannya di media sosial hari ini.
Menurut Asyraf, apakah keputusan untuk melantik DNB sebagai syarikat tunggal mengendalikan projek RM11 billion yang dibuat ketika tempoh Proklamasi Darurat waktu Perdana Menteri ke-8 itu dianggap agak tergesa-gesa dan membuka kepada pelbagai polemik melibatkan ketelusan dan tadbir urus yang baik.
“Yang dipertikaikan juga adalah soal tadbir urus, penglibatan semua pemegang taruh dan ketelusan dalam perlaksanaan agenda pendigitalan negara 5G oleh DNB. Kenapa persoalan-persoalan yang diutarakan oleh umum tidak diperincikan dan dijawab secara berfakta?” soalnya lagi.
Daripada aspek tadbir urus juga, walaupun DNB adalah milik penuh Kementerian Kewangan kenapa DNB tidak diletakkan di bawah kawalselia Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) atau Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang lebih mahir dalam industri telekomunikasi, katanya.
“Adakah DNB akan bertindak secara bebas dalam operasi perniagaannya terutamanya dalam perkara-perkara yang melibatkan penawaran tender dan pemberian kontrak bernilai tinggi, pemilihan kontraktor dan pembekal?
“Disebabkan tiada koordinasi dan kawalselia yang baik, lebih kepada menjadikan DNB sebagai sebuah GOC bebas, ada berita mengatakan bahawa setakat ini, roll out 5G di Lembah Kelang tidak mendapat kerjasama syarikat-syarikat telco untuk menyewa spektrum DNB.
Menurutnya, kesemua persoalan itu bermain dalam fikiran rakyat dan dan wajar dijawab secara tuntas oleh Menteri Kewangan.- MalaysiaGazette