KUALA LUMPUR – Keluaran dalam negara kasar (KDNK) global diunjur pada 5.5 peratus tahun ini dan 4.1 peratus pada 2022 memandangkan kemunculan varian Omicron telah meningkatkan ketidaktentuan serta risiko menurun terhadap trajektori dalam tempoh terdekat, demikian menurut Moody’s Analytics.
“Pertumbuhan KDNK akan semakin berkurangan pada tahun depan apabila sokongan dasar kian pudar, permintaan terpendam mereda serta tekanan rantaian bekalan berlarutan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Namun begitu, firma penyelidikan itu berkata kemunculan Omicron itu dijangka tidak akan menjejaskan momentum pemulihan.
Pada Ogos, Moody’s Analytics mengunjurkan KDNK global akan pulih kepada 5.7 peratus tahun ini selepas menguncup 3.6 peratus pada 2020.
Dalam kenyataan terkininya, Moody’s berkata bahawa varian Omicron telah mendorong sentimen menjadi lebih rendah, begitu juga dengan gangguan rantaian bekalan yang menjejaskan inventori dan kapasiti untuk menampung permintaan yang meningkat.
Ia juga berkata bahawa normalisasi dasar monetari akan menjadi ciri penting landskap ekonomi pada 2022.
“Rizab Persekutuan mendahului dengan pengurangan aset yang lebih agresif ekoran inflasi semakin baik daripada jangkaan awal. Kenaikan pertama dalam kadar dana persekutuan dijangka menjelang September 2022,” katanya.
Menurut Moody’s, Amerika Syarikat (AS) dan China akan terus memacu pertumbuhan global.
Pertumbuhan KDNK AS diramalkan pada 5.6 peratus pada 2021 dan 4.4 peratus pada 2022 didorong oleh rangsangan fiskal manakala China pula pada 7.9 peratus pada 2021 dan 4.7 peratus pada 2022.
“Ekonomi China menghadapi cabaran dalam beberapa aspek, termasuk kekurangan tenaga, pasaran hartanah yang lemah serta pengumpulan risiko dalam sektor kewangan,” tambahnya. – MalaysiaGazette