Home Nasional PERKESO anjur karnival kerjaya bantu OKU dapat peluang sama rata

PERKESO anjur karnival kerjaya bantu OKU dapat peluang sama rata

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan beramah mesra bersama atlet paralimpik dari Majlis Sukan Negara yang menghadiri Karnival Kerjaya Orang Kurang Upaya anjuran Perkeso Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 14 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Karnival Kerjaya Orang Kelainan Upaya (OKU) yang dianjurkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bertujuan memastikan golongan berkenaan mendapat peluang sama rata untuk menyumbang kepada ekonomi negara.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, penganjuran karnival berkenaan selari dengan aspirasi Keluarga Malaysia supaya tidak ada mana-mana individu yang tercicir terutamanya dalam situasi pandemik Covid-19.

Menurut beliau, karnival yang berlangsung selama sehari itu menawarkan pelbagai aktiviti seperti kaunseling kerjaya, bantuan pendaftaran portal pekerjaan nasional, MyFutureJobs serta sesi temu duga terbuka.

“Pagi ini seramai 90 individu hadir bagi sesi temu duga dan 42 orang daripada mereka telah dapat pekerjaan. Ini merupakan satu perkembangan yang positif bagi karnival kerjaya yang diadakan selama sehari.

“Saya juga akan cadangkan kepada Perkeso supaya memperluaskan usaha ini di seluruh negara,” katanya menerusi sidang media selepas merasmikan Karnival Kerjaya OKU anjuran Perkeso di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama, Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Antara peserta yang hadir pada Karnival Kerjaya Orang Kurang Upaya anjuran Perkeso Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 14 DISEMBER 2021.

Menerusi karnival khas untuk golongan istimewa itu, sebanyak 16 majikan telah mengambil bahagian antaranya Padini Holding Bhd, HDTEC Energy Sdn Bhd, FMJ Synergy Sdn Bhd, Lulu Group Retail dan Teleperformance Malaysia Sdn Bhd. – MalaysiaGazette