Home Nasional Semua sekolah ada akses untuk Murid Berkeperluan Khas

Semua sekolah ada akses untuk Murid Berkeperluan Khas

Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) sentiasa komited menyediakan akses pendidikan kepada Murid Berkeperluan Khas (MBK) di sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Mohamad Alamin berkata, akses itu seperti menyediakan keperluan pendidikan khas yang bergantung kepada tahap fungsi murid, potensi serta sokongan diperlukan.

Sepanjang tahun ini, sebanyak 730 daripada 6,394 sekolah yang mempunyai MBK di seluruh negara telah dilengkapi dengan empat kemudahan mesra orang kurang upaya (OKU).

“Kemudahan itu ialah susur tangan, susur landai, tandas OKU dan tempat letak kenderaan OKU, manakala 2,774 sekolah mempunyai sekurang-kurangnya satu daripada empat kemudahan ini.

“Pada tahun ini juga, KPM telah diberikan peruntukan khas Perkasa Agenda Pendidikan Khas sebanyak RM45 juta bagi membiayai keperluan MBK di sekolah.

“Daripada jumlah itu, kita telah memperuntukan RM33.73 juta untuk kerja penyelenggaraan sekolah iaitu menyediakan empat kemudahan mesra OKU yang melibatkan 245 sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Datuk Ras Adiba Radzi yang bertanya mengenai peruntukan menaik taraf sekolah disediakan dalam Bajet 2021 dan RMKe-12 pada sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di sidang Dewan Negara hari ini.

Ras Adiba Radzi

Menurut Mohamad, daripada RM45 juta itu, sejumlah RM11.27 juta diperuntukan bagi kapasiti sumber manusia, pelaksanaan pembelajaran dan pengajaran serta saringan intervensi dan khidmat sokongan.

Ujar beliau, pada 2022, kementerian itu diberikan peruntukan khas RM50 juta dengan RM29.9 juta akan digunakan untuk penambahbaikan infrastruktur di 467 sekolah yang mempunyai MBK.

Selain itu, katanya, melalui RMK-12 Rolling Plan kedua untuk 2022, KPM telah diperuntukan RM124,500,000 untuk lapan projek melibatkan sebuah sekolah kebangsaan pendidikan khas dan tujuh Program Pendidikan Khas Integrasi.

“Jumlah peruntukan digunakan oleh KPM untuk penyelenggaraan dan menaik taraf kemudahan mesra OKU bagi tahun 2011 hingga 2020 pula sebanyak RM77.34 juta,” katanya. – MalaysiaGazette