KUALA LUMPUR – Menyorot kembali pembentangan Bajet 2022 pada Oktober lalu, ia jelas menyaksikan kerajaan di bawah pentadbiran Keluarga Malaysia berjaya mengimbangi setiap bantuan yang akan dan telah diberikan.
Pensyarah Kanan Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berpandangan, tahun 2021 akan ditutup dengan satu pencapaian yang baik apabila Keluaran Dasar Negara Kasar (KDNK) bakal mencatat pertumbuhan sebanyak tiga peratus.
Menurutnya, dalam keadaan negara masih berdepan pandemik Covid-19, kerajaan dilihat dapat mencapai seterusnya menyantuni rakyatnya dengan begitu baik sekali.
“Selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hasil kutipan negara berakhirnya tahun ini adalah sebanyak RM24 bilion, nilai eksport meningkat serta kadar pengangguran menurun kepada 4.3 peratus sahaja atau 709,000.
“Itu pencapaian yang berjaya diperoleh untuk tahun ini,” katanya kepada Malaysia Gazette.
Beliau berkata di bawah Bajet 2022, walaupun banyak indikator dilihat positif namun tidak dapat dinafikan Malaysia masih dalam fasa pemulihan untuk beberapa lagi isu yang masih belum dapat ditangani sepenuhnya.
“Disebabkan itulah, Bajet 2022 mencakupi keseluruhan golongan dengan memastikan semua golongan yang masih lagi terkesan dapat bantuan yang sepatutnya.
“Tidak hanya itu malah peniaga-peniaga yang baru sahaja kembali juga dapat meneruskan kelestarian kemampanan perniagaan mereka untuk masa akan datang kerana kita faham bahawa ada lagi beberapa faktor seperti kenaikan harga barang, rantaian bekalan serta kemungkinan berlakunya varian baharu yang boleh merencatkan pertumbuhan ekonomi pada tahun hadapan,” katanya lagi.
Disebabkan semua itu, katanya, Bajet 2022 memperlihatkan fokus utama adalah memastikan semua golongan yang mendapat manfaatnya tanpa ada yang akan tercicir.
“Bajet untuk setahun tetapi ada fokus dan teras untuk masa sederhana dan panjang.
“Kita lihat ada bantuan one-off seperti Bantuan Keluarga Malaysia yang memang masih lagi perlu disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
“Selain itu, ada juga inisiatif kerajaan untuk membangunkan infrastruktur seperti pembangunan internet 5G di bawah program Jendela yang akan siap sepenuhnya Fasa 1 pada tahun hadapan,” katanya.
Dalam pada itu Ahmed Razman berkata, pembangunan infrastruktur seperti bekalan air juga penting untuk memastikan limpahan ekonomi dapat dirasai oleh setiap pelusuk masyarakat di negara ini.
“Saya juga melihat, walaupun masih ada lagi bantuan kewangan kepada perniagaan namun ada lagi insentif untuk membantu perniagaan untuk menaiktaraf daripada segi automasi digitalisasi menggunakan teknologi supaya mereka dapat meluaskan pasaran dan juga untuk lebih berdaya saing.
“Ini kerana, pada tahun hadapan dijangka negara akan meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang membolehkan perniagaan tempatan dapat menceburi pasaran sempadan.
“Pada masa sama, syarikat antarabangsa juga akan masuk kepada syarikat tempatan dan persediaan perlu dilakukan sekarang,” ujarnya.
Bajet 2022 yang dibentangkan di Dewan Rakyat oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bertemakan ‘Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera’ menekankan elemen 3M atau 3R iaitu memulih kehidupan (recovery); membina semula daya tahan (resilience) dan memangkin pembaharuan (reform).
Bajet yang dianggap paling tinggi ini memperuntukkan sejumlah RM322.1 bilion yang juga merupakan kesinambungan kepada pakej bantuan dan rangsangan ekonomi sebelum ini. – MalaysiaGazette