KUALA LUMPUR – Selepas tujuh tahun menghidap angin ahmar, seorang orang kurang upaya (OKU) berharap berpeluang mendapat pekerjaan baharu menerusi Karnival Kerjaya OKU yang dianjurkan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Menurut Tang Lih Lih, 48, dari Krubong Jaya, Melaka, kekurangan diri bukan penghalang untuk golongan OKU sepertinya menghadiri sesi temu duga dan diterima bekerja.
Jelasnya, kali terakhir dia bekerja adalah pada tahun 2013 sebagai seorang kerani sebelum secara tiba-tiba diserang angin ahmar.
“Saya dibawa oleh pihak Perkeso dari Melaka ke Kuala Lumpur hari ini untuk hadir temu duga, tadi pun saya sudah pergi temu duga dengan dua hingga tiga majikan.
“Saya memang sudah lama tidak bekerja dan berharap adalah peluang untuk saya kali ini,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette pada Karnival Kerjaya OKU di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, hari ini.
Sementara itu, Muhammad Huzairi Abdul Malek, 31, yang merupakan OKU kategori fizikal meluahkan rasa keterujaan untuk kembali bekerja jika rezeki berpihak kepadanya.
Muhammad Huzairi berkata, dia dimaklumkan oleh pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) mengenai karnival itu sebelum menyediakan segala dokumen berkaitan bagi menghadiri sesi temu duga.
“Saya dapat maklumat dari pegawai MSN yang jaga sukan badminton, dia tunjuk pada saya supaya boleh hadir temu duga di karnival ini untuk mencari peluang kerja.
“Saya mempunyai pengalaman bekerja selama setahun di bahagian pentadbiran dan ketika ini saya sedang menjalani latihan sendiri di rumah sementara menunggu panggilan latihan pusat.
“Jika ditakdirkan saya dapat kerja, saya akan pastikan peluang itu dimanfaatkan dengan sebaiknya,” ujar Muhammad Huzairi yang berlatih bagi acara badminton menjelang temasya Sukan Para Asia di China 2022.
Seorang lagi peserta karnival, Muhammad Zakwan Mad Zin, 29, dari Bachang, Melaka tidak menyangka kemalangan motosikal yang dialami pada 22 Ogos lalu menyebabkan beliau sukar untuk berjalan dan perlu menggunakan tongkat.
Berkongsi lanjut, Muhammad Zakwan berkata, dia kini dalam tempoh pemulihan dan dibantu oleh Perkeso untuk datang ke ibu negara bagi mencari peluang pekerjaan.
“Terima kasih kepada Perkeso kerana membantu saya dalam tempoh pemulihan selepas terlibat dalam kemalangan dan mengalami patah pinggul sebelah kiri.
“Saya datang hari ini untuk lihat kalau ada pekerjaan yang sesuai untuk saya yang sedang cuba untuk pulih sepenuhnya,” katanya. – MalaysiaGazette