Home Seni Hidup Ulang tahun perkahwinan Che Ta tertunda gara-gara suami, anak positif Covid-19

Ulang tahun perkahwinan Che Ta tertunda gara-gara suami, anak positif Covid-19

Rozita Che Wan dan Zain Saidin menyambut ulang tahun perkahwinan ke lapan baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Sambutan ulang tahun kelapan perkahwinan Rozita Che Wan dan Zain Saidin baru-baru ini terganggu apabila suaminya disahkan positif Covid-19 bulan lalu.

Pelakon yang mesra disapa Che Ta, 48, mendedahkan sehari selepas Zain, 37, dijangkiti virus itu, anak perempuannya, Aaisyah Dhia Rana turut terpalit sama.

Kerana situasi tidak terduga itu, pelakon drama Tahyul di TV3 menerusi watak Detektif Mazni ini berkata, perancangan bercuti ke sebuah pulau persendirian di Langkawi juga terpaksa ditunda.

“Ikutkan dalam seminggu juga saya, suami dan Aaisyah ditemani jurugambar menikmati percutian di pulau itu. Kami patut pulang daripada percutian itu sehari sebelum ulang perkahwinan kelapan yang diraikan pada 11 Disember lalu.

“Apa nak buat, kita tak mampu menghalang semua ini. Suami saya patut menjalani penggambaran sebuah drama bulan lalu, tapi akhirnya kena tolak tawaran itu.

“Suami memang bergejala seperti batuk, selesema dan demam. Cuma dia sendiri kurang pasti terkena virus itu di mana. Kemudian berjangkit pula kepada Aaisyah.

“Bagaimanapun Aaisyah hanya demam saja, tetapi deria rasanya masih ada. Tapi saya dan dua anak lelaki bersyukur kerana kami sebaliknya disahkan negatif. Syukur suami dan Aaisyah sudah pulih sepenuhnya,” katanya.

Che Ta kini berusia 48 tahun.

Kata Che Ta lagi, dia secara peribadi tidak suka situasi berkenaan berlaku.

“Memang apabila semua ini berlaku, habis perancangan itu ini termasuk menyambut ulang tahun perkahwinan terbantut. Tapi apa daya kita nak menghalang semua ini daripada terjadi.

“Walaupun suami sudah lengkap dua dos suntikan vaksin, ia bukan jaminan yang virus jahat itu takkan menyerang. Virus ini memang ada di sekeliling kita. Apabila kena batang hidung sendiri saat ahli keluarga dan adik beradik sendiri positif wabak itu, kita kena reda.

“Kadang kadang sejauh mana kita berhati hati pun, nak jadi… jadi juga,” kata Che Ta memberitahu ibu dan adik beradiknya turut positif Covid-19 beberapa bulan lalu.

Tambah Che Ta, ketika insiden itu suami dan anaknya melakukan kuarantin kendiri di rumah.

“Kesian tengok Aaisyah kena virus ini. Walaupun deria rasa tak hilang, sampai kena paksa dia makan. Kebetulan masa kejadian, mak saya ada di rumahnya di Subang Jaya. Kebiasaannya mak memang banyak berada di Kedah menghabiskan masa di rumahya di sana.

“Kebetulan juga unit rumah mak di sini berdekatan dengan kediaman saya. Jadi saya dan Aaisyah memilih untuk duduk di rumah mak. Suami pula terus kuarantin di bilik di rumah kami sendiri.

“Dua anak lelaki pun memilih menemani suami saya di rumah tetapi buat hal masing masing di bilik,” katanya.

Sementara itu, seperti lazimnya meraikan ulang tahun perkahwinannya kali ini, pasangan suami isteri itu tetap ‘bersanding semula’ dalam sebuah majlis keraian di sebuah lokasi eksklusif di ibu kota.

Che Ta dan suami mula ‘bersanding semula’ sejak 2019.

“Cuma majlis kali ini memang cukup sederhana kerana situasi semasa pandemik. Tapi tetap nak rasai mood jadi pengantin dengan mengenakan gaun rona putih.

“Tahun ini sempat juga melaram dengan baju songket warna maroon rekaan Man Kajang untuk sesi fotografi. Tahun lalu kalau ada yang masih ingat songket berwarna hijau rekaan pereka fesyen sama jadi pilihan.

“Masa itu, fotografi dibuat di Pulau Langkawi dalam suasana kenduri dan persandingan ala kampung. Sampai siap diarak dengan paluan kompang. Zain pun siap bertanjak dan berkeris. Kawan baik saya ketika itu jadi ‘ekstra’ tukang palu kompang,” katanya.

Che Ta dalam pada itu, tidak menyangka masa seakan berlalu hingga usia perkahwinannya terus bertambah.

“Pejam… celik mata, sudah masuk lapan tahun saya berkahwin. Tempoh itu bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui. Biasalah dalam tempoh itu ada gaduh ‘manja’ dan rajuk. Tetapi tak lama, lepas itu sejuklah.

“Pandemik ini juga menguji, tapi baik saya dan suami cuba mengharunginya sebaik mungkin. Pernah ada ketika saya terguris hati dan sentap dengan suami, dia datang buat kejutan bawa jambangan bunga ketika saya menjalani penggambaran di Kedah.

“Pendek kata pada fasa sekarang memang kena kuat bertahan dan bertolak ansur,” katanya.

Che Ta dan suami mula ‘bersanding semula’ sejak tahun 2019.

Kata Che Ta, hingga kini dia masih dihujani dengan mesej langsung di media sosial bertanyakan suami yang jarang dikongsi gambar bersama.

Tak kurang juga yang mengandaikan situasi tidak berkongsi gambar bersama di Instagram (IG) contohnya sebagai justifikasi rumah tangga kami berantakan.

“Memang kalau yang tahu, suami memang bukan kaki bergambar. Saya pula memang suka bergambar dan melaram. Hampir setiap hari entri IG ada saja muat naik baru.

“Tahun lalu masa sambutan ulang tahun hari lahir saya, tak nampak kelibat suami pun ada yang buat kesimpulan itu ini. Hakikatnya suami terikat dengan penggambaran drama.

“Dalam hal begini saya tak boleh kawal apa pandangan orang lain. Saya ambil pendekatan tidak peduli kerana orang hanya nampak luaran dan apa yang saya kongsi di IG saja contohnya. Saya bersetuju dengan pandangan yang anggap soal kebahagiaan atau kesengsaraan itu tak perlu dipamer di media sosial,” katanya.

Che Ta dan Zain bernikah pada 11 Disember 2013 selepas berkenalan ketika membintangi drama Kiah Pekasam pada 2009.

Pasangan ini dikurniakan seorang anak perempuan, Aaisyah Dhia Rana, tujuh tahun, selain Che Ta turut memiliki dua anak lelaki daripada perkahwinan terdahulunya. – MalaysiaGazette