KUALA LUMPUR – Kehadirannya bersama Kelantan FC pada musim 2021 ibarat mimpi jadi kenyataan buat pemain tengah, Dzulfahmi Abdul Hadi.
Ini kerana dapat menunaikan impian ibu dan bapanya yang mahu melihat dia beraksi di negeri kelahirannya.
Tidak pernah terlintas di fikirannya sebelum ini akan menyarung jersi Kelantan FC namun segala-galanya berubah dengan panggilan pemilihan yang diterima menjelang empat hari pintu perpindahan pemain pertama ditutup.
“Keluarga saya iaitu ibu dan ayah sememangnya mereka berasal dari Kelantan biarpun sudah menetap di Selangor tetapi mereka sudah lama mahu melihat saya bermain dengan negeri kelahiran saya sendiri.
“Sekurang-kurangnya kalau karier saya sudah tamat nanti, saya berpuas hati kerana cita-cita ibu serta ayah saya tercapai yang mahu tengok saya menyarung jersi Kelantan.
“Dalam masa sama, saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada pengurusan pasukan yang berikan peluang di saat akhir kerana kalau tidak kerana Kelantan pada awal musim, saya sudah tidak bermain bola lagi rasanya pada masa sekarang.
“Saya harap boleh julang satu trofi di sini serta lebih dikenali dalam kalangan penyokong Kelantan kerana semua orang tahu di Liga Malaysia, mereka antara kumpulan penyokong teramai di Liga Malaysia, ” katanya.
Berusia 27 tahun, Dzulfahmi merupakan salah seorang pemain yang dibentuk oleh Sime Darby FC apabila diserap oleh Ismail Zakaria dalam skuad Piala Presiden 2012.
Dia menghabiskan enam musim beraksi di sana sebelum berhijrah ke Negeri Sembilan pada 2019 apabila pasukan Sime Darby ditutup.
Prestasi cemerlangnya menarik perhatian Kuala Lumpur pada tahun berikutnya namun gagal mendapat minit permainan yang banyak ekoran saingan sengit dalam pasukan.
Situasi itu meletakkannya sukar meraih perhatian pasukan lain sebelum Kelantan membuka ruang pada musim 2021 dan sentiasa diturunkan dalam kesebelasan utama di bahagian sayap kanan dengan 11 penampilan secara keseluruhan serta empat kali selaku pemain gantian.
Menjelang musim depan, Dzulfahmi optimis Kelantan bakal menyinar di bawah sentuhan Rezal Zambery Yahya yang disifatkan sangat terbuka serta sentiasa mendengar pandangan pemain.
“Sebagai jurulatih muda, Rezal melayani pemain seperti seorang kawan dan terbuka untuk mendengar pendapat pemain-pemain dalam soal taktikal.
“Situasi itu membuatkan kami semua sangat selesa bekerja dengannya malah di atas padang, kami bukan sahaja bermain untuk pasukan tetapi untuk jurulatih.
“Saya lebih yakin kami boleh ke Liga Super pada musim 2023 kerana penerapan taktikalnya sangat berbeza dan harap pemain-pemain baharu nanti boleh ikuti segala direncanakan jurulatih,” katanya. – MalaysiaGazette