Home Dunia Gambarkan wanita sebagai lembu, syarikat susu minta maaf

Gambarkan wanita sebagai lembu, syarikat susu minta maaf

Iklan Seoul Milk yang menjadi kontroversi.

SEOUL – Jenama tenusu terbesar Korea Selatan terpaksa meminta maaf selepas menyiarkan iklan yang menggambarkan wanita sebagai lembu.

Video oleh Seoul Milk menunjukkan seorang lelaki secara rahsia merakam sekumpulan wanita di padang, yang kemudiannya bertukar menjadi lembu.

Selepas menerima kecaman orang ramai, syarikat itu mengeluarkan promosi iklan itu daripada YouTube, tetapi ia telah menjadi viral selepas dimuat naik semula oleh pengguna internet.

Ada juga yang membandingkan tingkah laku lelaki itu dengan “molka”, amalan haram merakam orang secara rahsia.

“Kami dengan tulus ikhlas memohon maaf kepada semua orang yang berasa tidak selesa dengan iklan susu yang dikeluarkan pada 29 November lalu.

”Kami melihat perkara ini dengan serius dan akan menjalankan semakan dalaman dan lebih berhati-hati untuk mengelakkan kejadian serupa berlaku pada masa hadapan. Kami memohon maaf,” kata syarikat induk Seoul Milk Seoul Dairy Cooperative dalam permohonan maaf yang disiarkan dalam talian.

Klip video itu bermula dengan seorang lelaki dengan kamera berkeliaran di kawasan luar bandar.

“Kami akhirnya berjaya merakam mereka di tempat yang bersih,” kata seorang lelaki yang bersuara.

Kemudian lelaki itu bersembunyi di dalam semak, merakam sekumpulan wanita minum dari sungai dan melakukan yoga.

Apabila lelaki itu secara tidak sengaja terpijak ranting itu lalu mengejutkan wanita yang tiba-tiba bertukar menjadi lembu.

Iklan itu diakhiri dengan perkataan “Air bersih, makanan organik, 100% susu tulen Seoul. Susu organik dari ladang organik di Cheongyang yang menyegarkan”. – BBC