Home Nasional Long Tiger lolos di Tangkak: Polis Melaka ketat kawalan sempadan

Long Tiger lolos di Tangkak: Polis Melaka ketat kawalan sempadan

Datuk Abdul Majid Mohd Ali

MELAKA – Polis Melaka memperketatan kawalan sempadan di negeri ini bagi mengesan penjenayah dikenali `Long Tiger’ yang berjaya meloloskan diri dari tahanan di Tangkak, hari ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, satu Tim Pantas telah digerakkan hari ini bagi membantu pasukan Polis Kontinjen Johor.

“Tim Pantas di bawah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri ini turut membuat risikan sekiranya mempunyai maklumat penjenayah etnik Rohingya itu merentas masuk ke sempadan negeri ini.

“Ya hari ini kita memang dapat maklumat ada tahanan Long Tiger melarikan diri dan kita akan tingkatkan risikan dan pencegahan di sempadan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Kami Prihatin anjuran Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) di Taman Seri Duyong, di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah JPNIN negeri, Intan Suhana Yusof dan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Melaka, Asisten Komisioner Mohd Hedzir Hussin.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat dalam laporan media hari ini berkata polis giat memburu lelaki warga Myanmar yang meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret di Tangkak pagi tadi.

Artikel berkaitan: 

Sehubungan itu, polis kini menjalankan Ops Tutup di semua jalan keluar dan masuk daerah Tangkak dan usaha mengesan suspek, Abd Hamim Ab Hamid, 33 yang turut menggunakan khidmat anjing pengesan K9 selain sekatan jalan raya (SJR).

Mohd Fadhil dilaporkan berkata, polis menerima laporan pada 11.55 pagi tadi memaklumkan seorang lelaki melarikan diri dari lokap dengan keadaan tangan bergari.

Siasatan awal mendapati lelaki terbabit melarikan diri melalui pintu utama mahkamah serta menghilangkan diri sekitar semak samun berhampiran walaupun usaha mengesannya sudah dilakukan.

Abd Hamim dibawa ke mahkamah berkenaan bagi pengakuan bersalah di bawah Seksyen 388, iaitu kes ugutan terhadap seseorang dibawa dari penjara di Sungai Udang, Melaka di sini, semalam. – MalaysiaGazette