Home Nasional Long Tiger loloskan diri dari lokap mahkamah

Long Tiger loloskan diri dari lokap mahkamah

Suspek Long Tiger meloloskan diri

TANGKAK – Long Tiger atau Abdul Hamim Ab. Hamid  lelaki berketurunan Rohingya  diburu polis selepas berjaya melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd. Fadhil Minhat berkata, suspek, 32  berjaya meloloskan diri melalui pintu utama mahkamah pada pukul 11.55 pagi sebelum perbicaraannya bermula.

”Suspek telah diambil oleh pihak polis di penjara Sungai Udang, Melaka semalam untuk perbicaraan di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

“Prosiding yang sepatutnya bermula pada pukul 10 pagi ini ditangguhkan sementara menunggu kehadiran peguam bela tertuduh.

”Bagaimanapun, beberapa anggota polis yang membawa suspek ke mahkamah menyedari tertuduh sedang melarikan diri apabila melihat dia keluar dari pintu utama mahkamah menuju ke pagar,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak, di sini.

Mohd. Fadhil, empat anggota polis terbabit bersama pengawal keselamatan cuba mengejar suspek namun dia terus menuju ke semak berdekatan sebelum hilang dan gagal dikesan.

”Jarak suspek dan anggota polis terlampau jauh menyebabkan dia sukar diberkas. Suspek telah melalui kawasan semak berdekatan bersama gari di tangan.

“Kita mohon kerjasama orang ramai yang terlihat suspek atau mempunyai maklumat berhubung lokasi tertuduh untuk segera hubungi pihak polis,” katanya

Suspek seorang lelaki botak dengan ketinggian lebih kurang 160 sentimeter dan berat sekitar 65 kilogram dan memakai memakai baju pagoda serta berseluar coklat semasa melarikan diri.

Seramai empat anggota polis  bertanggungjawab mengiringi suspek ke mahkamah juga akan disiasat di bawah Seksyen 233 kerana kecuaian.

Pihak polis masih menyiasat sama ada kesemua anggota tersebut terlibat dalam kejadian ini atau sebaliknya.

Tambah beliau, tertuduh yang masih mempunyai status perbicaraan di Mahkamah Sesyen Muar membabitkan kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kini disiasat mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan kerana lari dari tahanan.- MalaysiaGazette