Home Seni Hidup Pembida aset Sajjad ‘ghaib’ pembantu Aliff Syukri?

Pembida aset Sajjad ‘ghaib’ pembantu Aliff Syukri?

Aliff Syukri (kiri) dan pembantu peribadinya.

KUALA LUMPUR – Seorang pembida lelaki yang berjaya dalam lelongan harta milik usahawan kosmetik, Nur Sajat semalam.

Namun lelaki yang menghilangkan diri selepas membuat bidaan tertinggi sebanyak RM132,000 didakwa pembantu peribadi (PA) kepada usahawan Datuk Seri Aliff Syukri.

Menerusi laman Facebook, seorang netizen membuat spekulasi berhubung siapa pembida bernama Mohammad Syazwan yang disyaki kenalan kepada Aliff Syukri – sahabat baik Sajat atau nama sebenarnya, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman.

“Korang boleh search nama Syazwan Fiesol ini. Pastu komen apa korang nampak, dia pembantu peribadi (PA) siapa?

“Jeng Jeng Jeng. Fuh sanggup hantar geng, nampak macam masih sayang kat harta sita itu,” tulisnya.

Semalam, lelaki bernama Mohammad Syazwan Ahmad Fiesol didakwa ‘ghaib’ selepas memaklumkan mahu melakukan bank draf setelah tamat sesi bidaan.

Disebabkan perkara itu, peguam Nurul Hafidzah berkata, lelongan berkenaan akan berlangsung sekali lagi pada minggu depan di Jalan Polo 10/3, Kota Damansara, Petaling Jaya.

“Pembida itu kata wang tunai dia di rumah, jadi kami kata bagi sahaja bank draf dahulu tapi sampai sekarang dia tak muncul.

“Padahal bank draf kejap sahaja, kita syak pembida ini orang rapat kepada seorang lagi usahawan terkenal. Jadi bidaan gagal dan sesi lelongan akan dibuka semula minggu depan,” katanya.

Sementara itu, Aliff Syukri yang didakwa menghantar pembantu peribadinya bagi membida aset di kediaman Sajjad terkejut apabila namanya dikaitkan.

Aliff, 36, bagaimanapun enggan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu itu dan tidak kisah jika netizen terus membuat spekulasi.

“Saya tak nak komen isu ini. Saya tak mahu keluarkan apa-apa kenyataan kerana menghormati semua orang.

“Biarlah orang bercakap tapi benda ni tak ada kesahihan… mungkin ada orang lain nak beli dan dia ada duit, sesiapa pun ada hak kan?” soalnya dipetik daripada laporan mStar. – MalaysiaGazette