Home Nasional Tempoh penggajian pekerja asing pegang PLKS dilanjutkan

Tempoh penggajian pekerja asing pegang PLKS dilanjutkan

Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh penggajian pekerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) bagi Program Penggajjian Semula.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, lanjutan itu dibenarkan setahun demi setahun sehingga maksimum lima tahun tertakluk kepada keperluan.

Langkah itu dipersetujui kerajaan pada 19 November lalu bagi mengelakkan para majikan terputus sumber tenaga kerja terutama dalam sektor pekerjaan 3D (kotor, sukar dan bahaya).

Serentak itu, permohonan lanjutan PLKS bagi program ini akan dibuka mulai 20 Disember ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Program Penggajian Semula ini dilaksanakan pada tahun 2016 bertujuan untuk memberi peluang kepada PATI yang bekerja di Malaysia untuk diberikan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang sah untuk tempoh maksimum lima tahun bagi memenuhi keperluan tenaga kerja di sektor-sektor yang dibenarkan.

Tambah beliau, sehingga 30 November lalu, Jabatan Imigresen telah merekodkan 185,577 PLKS yang masih aktif.

Mengambil kira pelaksanaan Program Penggajian Semula mulai tahun 2016, PLKS yang sah laku untuk tempoh lima tahun bagi program ini akan tamat secara berfasa mulai tahun 2021 sehingga tahun 2024.

Rentetan pengumuman terbaharu ini, Jabatan Imigresen meminta majikan yang menggaji pekerja di bawah program ini supaya memberi perhatian untuk beberapa perkara penting.

Menurutnya, pekerja dan majikan perlu memastikan mereka tidak melanggar apa-apa syarat pas yang dikeluarkan semasa penggajian di bawah program ini manakala pekerja yang telah disenaraihitam tidak layak untuk memohon lanjutan.

“Pekerja tidak boleh bertukar majikan atau sektor, kecuali melalui kelulusan khas Kementerian Dalam Negeri (KDN), hanya majikan dan wakil majikan yang sah dibenarkan mengemukakan permohonan lanjutan.

“Malahan, lanjutan PLKS ini hanya dibenarkan secara dalam talian melalui ePLKS atau MyEG dan pertimbangan lanjutan PLKS tertakluk kepada prosedur penggajian pekerja asing yang berkuatkuasa,” ujarnya.

Khairul Dzaimee juga menggesa semua majikan mengambil peluang keputusan kerajaan ini untuk memperbaharui PLKS pekerja masing-masing.

Majikan boleh mendapatkan keterangan lanjut mengenai pelanjutan tempoh penggajian bagi pekerja PLKS di bawah program ini melalui pautan www.imi.gov.my.-MalaysiaGazette