Home Nasional Warta rizab tanah kerajaan untuk kekalkan kolam takungan banjir – PM

Warta rizab tanah kerajaan untuk kekalkan kolam takungan banjir – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempengerusikan Mesyuarat Ketiga Majlis Air Negara (MAN).

KUALA LUMPUR – Majlis Air Negara (MAN) bersetuju untuk mewartakan rizab tanah kerajaan untuk mengekalkan kolam tangkungan banjir dan rizab sungai.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, keputusan itu akan dapat menjamin kualiti sumber air bersih sekaligus memulihara alam sekitar.

Kata beliau, mesyuarat hari ini yang dipengerusikannya turut bersetuju untuk mengadaptasi aras lindung selamat reka bentuk infrastruktrur.

“Fenomena perubahan iklim dan kenaikan aras laut yang sedang dan akan terus berlaku bakal menyebabkan kejadian ekstrim seperti banjir, musim kering, kenaikan aras laut dan pusuan ribut yang berisiko menyebabkan bencana kepada kawasan pesisir pantai.

“Tindakan dan adaptasi aras lindung pantai bagi jangka pendek, sederhana dan panjang melalui kaedah struktur atau penyelesaian berasaskan alam semula jadi (Nature Based Solution) perlu mengambilkira faktor perubahan iklim dan kenaikan aras laut dalam perancangan dan pembinaan, supaya aras lindung pantai tersebut mampu menangani bencana ekstrem bagi mengurangkan impak bencana dan menjamin kelestarian sosio-ekonomi dan pembangunan negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Perdana Menteri berkata, satu lagi cadangan telah dipersetujui iaitu kerjasama pelaksanaan inisiatif Air, Pulih, Guna di antara Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. Dengan Syarikat Operator Air Negeri.

Jelas beliau, inisiatif berkenaan demi mengoptimumkan sumber air negara sedia ada dan menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar melalui konsep Ekonomi Kitaran (Circular Economy) dalam menguruskan sumber air negara.

“Penyediaan sumber air baharu untuk kegunaan industri bukan makanan adalah salah satu strategi oleh Kerajaan sebagai langkah pemulihan dan pemeliharaan sumber air selain peluang mewujudkan sumber pendapatan tambahan Syarikat Operator Air,” tambahnya.

Mesyuarat MAN kali ketiga secara maya itu kata Ismail Sabri, turut mengambil maklum dua perkara iaitu pembahagian tanggungjawab antara Jabatan Pengairan dan Saliran, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi lain.

Satu lagi pemakluman yang dipertimbankan adalah mengenai garis panduan pembinaan telaga tiub untuk yujuan eksplorasi, pemantauan dan pengeluaran dalam penggunaan sumber air bawah tanah.

Sebagai rekod, mesyuarat MAN hari ini telah dihadiri oleh Menteri-Menteri Persekutuan, Menteri-Menteri Besar/Ketua-Ketua Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua-ketua Jabatan/Agensi
yang berkaitan.

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bertindak sebagai sekretariat Majlis.-MalaysiaGazette