MUAR – Lima pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di daerah ini direman selama tiga hari oleh Mahkamah Majistret Muar pada hari ini bagi membantu siasatan berhubung kejadian buli membabitkan seorang pelajar junior pada minggu lalu.
Perintah tahanan reman sehingga Sabtu ini yang dikenakan ke atas kesemua pelajar berusia 16 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Analia Kamaruddin bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, kesemua pelajar itu dibawa ke Kompleks Mahkamah Muar kira-kira jam 9 pagi dengan menggunakan trak polis sebelum dibawa keluar tiga jam kemudian.
Media sebelum ini melaporkan seramai lima pelajar ditahan polis kerana dipercayai membuli pelajar junior berusia 14 tahun menyebabkan mangsa mengalami bengkak di bahagian rusuk kiri dan terpaksa mendapatkan rawatan di hospital.
ARTIKEL BERKAITAN:
Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar menerima laporan pada petang Selasa yang memaklumkan mangsa dibuli oleh pelajar-pelajar senior sehingga mengalami kecederaan.
Kesemua suspek kemudian ditahan dalam tempoh 24 jam selepas laporan polis dibuat di sekitar Kuala Sungai Baru, Melaka; Kajang, Selangor; Kuala Lumpur dan Daerah Johor Bahru pagi tadi.
Hasil siasatan awal polis mendapati kejadian berpunca kesemua suspek tidak berpuas hati dengan sikap mangsa dan rakan-rakannya, menyebabkan mereka dibuli.
Katanya, Polis Daerah Muar memandangkan serius terhadap kes-kes jenayah melibatkan pelajar khususnya kes buli di sekolah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat. – MalaysiaGazzete