KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan dua lagi pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian kes rompakan berkumpulan pada 10 Disember lalu di ibu negara.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, kejadian rompakan membabitkan rumah seorang pekerja agensi pelancongan itu mengakibatkan kerugian RM700,000.
Ia sekaligus menjadikan keseluruhannya tiga pegawai SPRM telah dicekup setakat ini untuk membantu siasatan polis.
“Siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Bukit Aman.
“Kes ini sedang disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana rompakan secara berkumpulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Abd Jalil lagi, kedua-dua pegawai SPRM berumur 37 dan 39 tahun tersebut telah dihadapkan ke mahkamah untuk proses perintah reman dan telah ditahan reman bermula 16 hingga 19 Disember ini untuk membantu siasatan.
“Justeru, PDRM menyeru orang ramai supaya memberi ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara telus dan adil.
“Kertas siasatan kes berkaitan sejurus selepas dilengkapkan nanti akan dikemukakan ke kamar Timbalan Pendakwa Raya dalam tempoh terdekat (untuk arahan lanjut),” tegasnya.
ARTIKEL BERKAITAN:
- Pegawai SPRM direman bantu siasatan kes rompakan RM700,000
- Reman pegawai SPRM disambung
- Kes rompak: Dua lagi pegawai SPRM diserah kepada polis
Kenyataan Abd Jalil menyusul selepas SPRM dalam kenyataan ringkas lewat malam tadi kepada media mengesahkan pihaknya telah menyerahkan dua lagi pegawainya kepada polis untuk membantu siasatan berhubung kes rompakan wang itu.
SPRM juga dalam kenyataan itu mengulangi pendiriannya pihaknya memandang serius perkara itu dan tidak akan sesekali berkompromi kerana membabitkan pegawainya.
SPRM turut menyatakan kesediaannya memberi kerjasama penuh kepada PDRM untuk membawa pesalah ke muka pengadilan.
Pegawai pertama ditahan polis di pekarangan pejabatnya di ibu negara pada Ahad sebelum direman sehingga 15 Disember lalu sebelum disambung reman lagi tujuh hari sehingga 20 Disember ini untuk melengkapkan siasatan kes.
Turut ditahan bersama suspek pertama adalah seorang awam pada Sabtu lalu kerana disyaki bersubahat dan terlibat dalam kejadian yang sama.- MalaysiaGazette