LONDON – Ketiadaan Pierre-Emerick Aubameyang langsung tidak memberi kesan kepada Arsenal selepas merakam kemenangan 2-0 ke atas West Ham dan melonjak ke tangga keempat Liga Perdana Inggeris, lapor Sky Sports.
Pada aksi awal pagi tadi, Gabriel Martinelli dan Emile Smith Rowe muncul wira pada babak kedua aksi tetangga London di Stadium Emirates yang menyaksikan pemain West Ham Vladimir Coufal dibuang padang.
Skuad kendalian Arteta kini berada dalam kelompok empat teratas buat pertama kali dalam tempoh dua tahun setengah.
Ia adalah prestasi luar biasa buat Arsenal yang tewas tiga perlawanan pembukaan liga buat pertama kali dalam tempoh 67 tahun.
Aubameyang tidak berada dalam skuad selepas dilucutkan sebagai kapten akibat masalah disiplin Selasa lalu.
Dia pulang lewat dan terlepas latihan minggu lalu kerana menziarahi ibunya yang sakit di Perancis. – MalaysiaGazette