Home Nasional Isu tular lesen memandu tanpa ujian praktikal palsu – JPJ

Isu tular lesen memandu tanpa ujian praktikal palsu – JPJ

Lesen Tanpa Uji Praktikal yang ditularkan individu tertentu di Media Sosial dinafikan oleh JPJ dan adalah tidak sah. Sumber JPJ

KUALA LUMPUR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) hari ini menafikan pihaknya menawarkan ujian lesen memandu tanpa ujian praktikal seperti yang tular di media sosial.

Pihaknya memandang serius isu berkenaan yang dilakukan oleh oleh individu tidak bertanggungjawab baru-baru ini.

“Orang ramai diingatkan agar tidak mudah terpengaruh dengan sebarang iklan yang ditawarkan iaitu tiada lagi ujian praktikal dengan JPJ seperti yang dimuat naik oleh individu bernama Irfan Fann melalui laman facebook Penduduk Alor Star / Jitra / Changloon / SP pada 12 Disember 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

JPJ juga ingin menegaskan maklumat yang dimuat naik adalah palsu.

“Dalam hal ini, JPJ menasihatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dan menghubungi pejabat JPJ yang berdekatan bagi mendapatkan maklumat yang lebih tepat dan sahih,” kata kenyataan yang sama.

Dalam pada itu pemerhatian pada poster yang ditularkan individu tidak bertanggungjawab itu mendapati kononnya lesen tanpa ujian praktikal ditawarkan pada yuran bayaran RM599 dan terhad kepada 20 orang terawal sahaja sambil meminta orang ramai menghubunginya menerusi nombor yang disediakan.

Dia juga menggunakan logo JPJ dengan tertera perkataan antaranya “Lesen Tanpa Ujian, Lesen Original, Lesen Tanpa Ujian Komputer dan JPJ”.

Mengikut iklan palsu itu, ia dimuat naik individu itu sekitar pada 12 Disember jam lebih kurang 2.59 petang. – MalaysiaGazette