Home Nasional Laporan kepentingan kajian perubatan ketum, hem diserah kepada KKM, KDN sebelum Mac...

Laporan kepentingan kajian perubatan ketum, hem diserah kepada KKM, KDN sebelum Mac – Zahidi

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin menyampaikan ucapan perasmian pada forum 'Sustainable Future of Medical Cannabis, Industrial Hemp and Kratom Industry in Malaysia' di Hotel Grand Season, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 16 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Laporan mengenai kepentingan pelaksanaan kajian perubatan berasaskan hem dan ketum akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum persidangan Dewan Rakyat pada Mac tahun depan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, laporan itu bagi membolehkan hem dan ketum ditanam bagi tujuan kajian perubatan dilaksanakan, sekali gus membuka peluang untuk negara menerokai pasaran perubatan yang baharu.

“Hari ini kita ada forum tentang Hem dengan ketum. Jadi sekarang kita berusaha dapatkan laporan daripada forum hari ini menerusi syarikat-syarikat yang berkaitan ketum dan hem untuk kita buat laporan kepada KKM dan KDN untuk luluskan kajian tentang hem dan ketum,” katanya pada Forum Awam ‘Kemampanan Industri Hem dan Ketum’, di sini, hari ini.

Zahidi berkata, beliau akan meyakinkan Ahli-Ahli Parlimen untuk mengemukakan usul Rang Undang-undang Persendirian untuk menggesa kerajaan, sekiranya  kedua-kedua kementerian tidak meluluskan laporan dan permohonan yang dikemukannya itu.

“Kalau boleh sampai sesi Parlimen depan kalau tidak lulus juga kita akan yakinkan Ahli Parlimen buat Usul Persendirian sampai persidangan bulan 3 tahun depan,” ujarnya.

Pusat Racun Negara dan Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-Ubatan adalah antara pihak yang terlibat dalam membuat laporan untuk dikemukakan kepada KKM dan KDN, ujarnya.

Terdahulu Zahidi ketika menyampaikan ucapan perasmian berkata, Malaysia perlu menceburi pasaran dunia untuk perubatan berasaskan hem dan ketum bagi menjadi negara maju.

Beliau berkata, bukan sahaja dapat membantu ekonomi negara, kekurangan peluang pekerjaan akan dapat ditangani sekiranya negara terlibat dengan perubatan dengan menjadi negara yang menanam hem dan ketum.

“Kalau kita mahu negara kita maju dari segi dan jadi ekonomi gergasi, peluang pasaran hem dan ketum sangat baik. Pasaran ketum RM50 bilion, hem pula sehingga mencecah RM250 bilion.

“Malaysia mempunyai peluang terbaik kerana tanah di Malaysia adalah terbaik menurut kajian pihak antarabangsa untuk hem dan ketum,” tambah beliau.

Terdahulu, wakil Pusat Racun Negara, Prof. Datuk Dr. Mohamed Isa Abd. Majid berkata, pihaknya bercadang untuk memulakan penanaman ketum di dalam bangunan untuk melaksanakan kajian keberkesanannya terhadap aspek perubatan.

Namun beliau berkata, ia memerlukan permit daripada KKM

“Nak tanam kena lebih 200 gram dan jika tidak ikut peraturan boleh dikenakan di bawah Akta Dadah Berbahaya.

“Oleh itu eloklah kita dapatkan permit yang diberikan oleh KKM,” kata beliau. – MalaysiaGazette