Home Sukan Liga Malaysia: Musim 2021 detik manis buat PJ City

Liga Malaysia: Musim 2021 detik manis buat PJ City

Foto Facebook PJ City FC.

KUALA LUMPUR – Musim 2021 akan dikenang  saat paling manis PJ City apabila meraih kedudukan terbaik sepanjang tiga musim di Liga Super.

Pasukan itu menamatkan cabaran di tempat ketujuh serta menggunakan 100 peratus pemain tempatan.

Biar pun tetap dirundung kecewa gagal melayakkan diri ke peringkat suku akhir TM Piala Malaysia buat kali pertama, ketua jurulatihnya, P. Maniam tetap berbangga dengan komitmen semua pemain.

Dalam masa sama, beliau turut berkongsi apa yang dilalui bukan sesuatu yang mudah pada awal musim untuk menukar mentaliti barisan kejurulatihan serta para pemain supaya mereka mampu bersaing di pentas Liga Malaysia tanpa sebarang pemain import.

“Sebelum ini pencapaian terbaik pasukan di Liga Super pada 2019 dan 2020 adalah di tempat kelapan, di mana pada masa itu kami ada menggunakan pemain import.

“Musim ini kami menggunakan semua pemain tempatan dan meraih tempat lebih baik iaitu tangga ketujuh, satu impak yang bagus kepada pasukan.

“Bukan senang sebenarnya untuk mengubah mentaliti dalam pasukan apabila diberitahu oleh pihak pengurusan di awal musim yang mereka mahu gunakan pemain tempatan sahaja.

“Apa yang saya lakukan pada mulanya adalah menukar dahulu mentaliti barisan kejurulatihan sebelum mereka pula yang berikan keyakinan kepada semua pemain yang kita boleh lakukan sesuatu yang tampak mustahil di pandangan pihak lain.

“Di atas kertas ramai rasa mustahil namun apabila kami bermain sebagai pasukan serta percayai keupayaan rakan, segalanya berkemungkinan dan mereka menunjukkan prestasi yang begitu mengagumkan sepanjang musim dengan berikan komitmen lebih 100 peratus dalam latihan serta perlawanan.

“Musim depan kami sasarkan mahu perbaiki lagi pencapaian dengan cuba mendapatkan kedudukan lebih baik di Liga Super serta mahu melangkah lebih jauh di Piala Malaysia,” katanya.

Dibantu beberapa pemain senior seperti Mahalli Jasuli, K.Gurusamy, Khyril Muhymeen dan K. Prabakaran, PJ City juga turut membuka ruang kepada bakat-bakat muda yang terdiri V. Ruventhiran, Sunil Chandran dan Syahmi Zamri menyerlahkan potensi di Liga Super.

Biarpun di awal musim, ramai menjangka mereka akan bergelut untuk kekal di Liga Super tetapi anak buah Maniam menunjukkan sebaliknya apabila berjaya menjauhi zon penyingkiran dengan kelebihan lapan mata ke atas Perak FC.

Selain itu, Maniam turut mendedahkan pendekatan taktikal 3-4-3 dan 3-5-2 menjadi sebahagian formula kekuatan pasukan dengan pemain berjaya cukup selesa bekerja di bawah sistem ini dan akan terus menjadi sebahagian daripada identiti PJ City untuk musim 2022.

Taktikal ini belum banyak digunakan oleh kebanyakan pasukan di saingan Liga Malaysia kecuali Sabah dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada penghujung saingan Liga Malaysia.

“Saya tidak boleh nafikan taktikal 3-5-2 dan 3-4-3 menjadi sebahagian di sebalik kejayaan kami beraksi dengan konsisten kerana berikan banyak ruang kepada pemain sama ada dalam situasi menyerang atau bertahan.

“Jika kami mahu bermain secara bertahan sepenuhnya, kami akan gunakan taktikal 5-4-1 sambil melakukan serangan balas namun boleh dikatakan kami banyak bermain dengan tiga pemain pertahanan dalam kebanyakan perlawanan.

“Pemain-pemain juga tampak begitu positif dan selesa dengan sistem malah mereka telah memberitahu saya yang tidak mahu menukar lagi kepada corak taktikal lain,” katanya. – MalaysiaGazette