Home Nasional Lima MoU dimeterai antara Universiti Malaysia-UAE

Lima MoU dimeterai antara Universiti Malaysia-UAE

MoU KPT UAE
Lima MoU dimeterai antara universiti Malaysia dengan UAE sepanjang Minggu Pendidikan, Ekspo Dubai. Foto FB KPT

KUALA LUMPUR – Lima memorandum persefahaman (MoU) berjaya dimeterai antara empat universiti Malaysia dan lima universiti di Emiriyah Arab Bersatu (UAE) hari ini dalam pelbagai bidang kerjasama melibatkan pendidikan tinggi kedua-dua negara.

Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan majlis pemeteraian dokumen berkenaan turut disaksikan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Datuk Dr Husaini Omar di Pavilion di sini sempena Minggu Pendidikan, Ekspo Dubai 2020.

MoU tersebut melibatkan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan United Arab Emirates University (UAEU) berkaitan pertukaran kepakaran dari segi kolaborasi aktiviti akademia dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan University of Sharjah.

“Kerjasama dengan University of Sharjah kini menumpukan pada bidang kepintaran buatan, ekonomi pengetahuan, kemahiran lanjutan, inovasi, keusahawanan, persekitaran mampan dan infrastruktur serta sains dan teknologi angkasa.

“Peranan utama Universiti Teknologi Mara adalah untuk mendidik, meningkatkan, melanjutkan pengetahuan dan pengalaman pakar. Semua ini adalah selaras dengan aspirasi UiTM Global Renowned University (GRU) 2025 dalam usaha untuk diselaraskan dengan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat Kebangsaan Malaysia (4IR) yang dilancarkan pada 1 Julai 2021,” demikian menurut kenyataan itu.

Universiti Sains Malaysia (USM) pula menjalankan kerjasama dengan dua universiti iaitu European Global School University (EGS) iaitu USM bersetuju untuk bekerjasama melaksanakan program pasca siswazah di Besiktas dan Istanbul di Turki manakala kerjasama USM dengan United Arab Emirates University (UAEU), kedua-dua universiti itu bersetuju bekerjasama dalam pertukaran pelajar dan staf; kerjasama dalam menawarkan program akademik, penyelidikan, penerbitan, latihan dan bengkel.

Kenyataan itu memaklumkan selain itu, University Taylor’s menandatangani memorandum persefahaman bersama Skyline University di UAE bagi meningkatkan kemahiran kakitangan, akademik dan penyelidikan.

“Kemampuan University Taylor’s melebarkan rangkaian antarabangsa serta kekuatan penyelidikan dan akademik membolehkan universiti ini mencapai kedudukan ke-53 di Asia dalam QS Asia Universiti Rankings 2022, menjadikannya universiti swasta terunggul di Malaysia dan Asia Tenggara,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA