Home Nasional Perak sasar 14 juta pelawat domestik tahun depan

Perak sasar 14 juta pelawat domestik tahun depan

ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi melakukan sesi penggulungan Bajet Perak 2022 di Sidang Undangan Dewan Negeri di Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan, Perak. Foto AMIRUL SHAUFIQ 16 DISEMBER 2021.

IPOH – Perak meletakkan sasaran sebanyak 14 juta pelawat domestik dan enam juta pelawat bermalam yang akan berkunjung ke negeri itu pada  tahun 2022.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, dan Pelancongan, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, sasaran itu mampu dicapai menerusi pengenalan Program Pemulihan Pelancongan Perak DReAM yang mampu merancakkan semula sektor pelancongan.

Menurut beliau, program itu bakal memanfaatkan kepada sektor pelancong selain memberi impak sosioekonomi antaranya kepada usahawan makanan, pengusaha dan kakitangan penginapan seperti inap desa, chalet atau resort dan hotel, pemandu pelancong dan pemandu bot.

Katanya, kerancakan semula sektor pelancongan juga akan membantu pengusaha pengangkutan, penyampai perkhidmatan seperti syarikat pembersihan dan keselamatan, syarikat penganjur dan vendor cenderamata.

“Program DReAM akan memberi fokus kepada pembangunan dan infra yang akan dilaksanakan melalui gabungan bajet peruntukan dan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE).

“Selain itu, program ini akan memperkasakan sumber manusia termasuk industri perkhidmatan selain penganjuran acara untuk penjanaan pendapatan untuk pengusaha pelancongan sama ada dalam bidang penginapan, perkhidmatan termasuk usahawan makanan atau minuman, barangan dan pengendali aktiviti seperti spa dan eko-pelancongan bagi memastikan Perak terus menjadi pilihan dan mendapat kunjungan pelawat secara berkali.

“Promosi akan dibuat dalam bentuk insentif atau subsidi untuk menggalakkan pengusaha dan pelancongan melalui Program Perak PASS, baucer #travelperaklah di mana pemasaran akan diperhebatkan melalui pakej baru untuk pasaran domestik
dan antarabangsa.

“Antara pakej yang sesuai bukan sahaja bagi Perak malah negeri-negeri utara Malaysia adalah termasuk  Tapak Warisan Dunia UNESCO, geopelancongan dan Coffee Map serta ketinggalan Heritage Trail di Batu Gajah, Taiping dan Teluk Intan serta dalam proses coffee trail,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Bajet Perak 2020 pada sidang Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

ADUN Tualang Sekah, Dato Nolee Ashilin Mohammed Radzi pada sidang media selepas selesai Sidang Undangan Dewan Negeri di Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan, Perak. Foto AMIRUL SHAUFIQ 14 DISEMBER 2021.

Nolee Ashilin menambah, mengikut Statistik Jabatan Perangkaan, ekonomi Perak bagi tahun 2020 dapat dipulihkan selepas dipacu oleh sektor pelancongan menerusi kehadiran seramai 13.17 juta pelawat.

Menurut beliau, jumlah itu kedua tertinggi selepas Selangor yang telah menjana sebanyak RM2.347 bilion kepada kitaran ekonomi negeri.

“Pembukaan semula sektor pelancongan dan kebenaran rentas negeri sejak Oktober disambut baik oleh semua pihak.

“Pulau Pangkor Bebas Cukai, Bandaraya Dalam Geopark Ipoh dan Bandar Warisan Taiping merupakan antara destinasi pelancongan utama di Perak.

“Selain itu, usaha kita juga telah diiktiraf dengan empat anugerah semasa Malaysian Tourism Gold Awards yang mana salah satu anugerah, Perak menerima Anugerah Best Safer Destination,” katanya. – MalaysiaGazette