KUALA LUMPUR – Aplikasi MySejahtera bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih lagi berwarna kuning dengan status ‘kontak kasual tanpa gejala’.
Bagaimanapun pengurusan mahkamah Kuala Lumpur hari ini membenarkan Ahli Parlimen Pekan itu masuk ke dalam bangunan untuk mengikuti prosiding rasuah penyelewengan dana 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) bernilai RM2.2 bilion yang sedang dihadapinya.
Sejak Isnin lalu, Najib tidak dibenarkan masuk ke dalam bangunan mahkamah dan prosiding terpaksa dilapangkan beberapa kali walaupun pendakwaan mengemukakan cadangan perbicaraan dilakukan secara hibrid kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.
Menurut peguam mewakili Najib, Datuk Hariharan Tara Singh, anak guamnya tidak melanggar sebarang peraturan oleh pihak berwajib dengan menghadiri prosiding secara fizikal.
“Anak guam kami tidak langgar undang-undang oleh kerajaan mahupun peraturan ditetapkan oleh pihak mahkamah,” katanya kepada Collin.
Pada 7 Januari lalu, Prosedur Operasi Standard (SOP) mahkamah telah dikeluarkan Pejabat Pendaftaran Mahkamah Persekutuan yang tidak menyatakan secara khusus individu yang diklasifikasikan sebagai kontak kasual dilarang memasuki kawasan mahkamah.
Sebaliknya SOP itu hanya menyatakan larangan masuk terhadap mereka yang menunjukkan gejala Covid-19, menjadi kontak rapat serta dikategorikan sebagai Individu Dalam Siasatan (PUI) / Individu Dalam Pemantauan (PUS), serta mereka yang sedang menunggu keputusan ujian saringan.
Kelmarin, Collin menetapkan Najib dan peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee menjalani ujian kendiri Covid-19 sebelum memaklumkan keputusan kepada Kementerian Kesihatan bagi membolehkan status MySejahtera kembali seperti biasa.
Selain Najib, isterinya, Datin Seri Rosmah juga tidak dibenarkan masuk ke dalam bangunan mahkamah bagi menyambung prosiding pembelaan kes rasuah solar hibrid kerana status MySejahtera berwarna jingga.
Walaupun pendakwaan telah mencadangkan prosiding secara hibrid, hakim menetapkan tarikh lain bagi menyambung perbicaraan di mahkamah terbuka atau sebaliknya kelak.
Prosiding kemudian diteruskan dengan pembelaan memeriksa balas saksi pendakwaan, bekas Ahli Lembaga Pengarah 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail. – MalaysiaGazette