Home Utama Terima kasih Tun, jumpa anda nanti – TMJ

Terima kasih Tun, jumpa anda nanti – TMJ

TMJ vs Tun M
Hantaran Tunku Ismail yang dikongsi di laman facebook baginda.

KUALA LUMPUR – Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim amat berbesar hati kepada Dr Mahathir Mohamad kerana turut mengatakan mengenai diri baginda dalam buku terkini bekas perdana menteri itu yang berjudul ‘Capturing Hope’.

Tunku Ismail berkata, baginda dididik dari kecil lagi untuk sentiasa menghormati semua agama dan juga rakyat berbilang kaum.

“Saya dan keluarga saya juga telah banyak memberi sumbangan kepada rakyat pelbagai kaum dan agama, serta akan terus membantu kebajikan semua kaum,” titah baginda dalam hantaran di laman Facebook malam tadi.

Mengulas lanjut mengenai catatan Dr Mahathir, Tunku Ismail bertitah, sebagai seorang yang berbangsa Melayu baginda tidak lupa akan tugas untuk mempertahankan agama Islam dan  itulah sebab baginda menentang Statut Rom dan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Sebaliknya baginda menyifatkan bekas Perdana Menteri itu bukan sahaja tidak jujur kepada Majlis Raja-Raja, tetapi juga tidak jujur sepenuhnya kepada rakyat Malaysia berkaitan isu Statur Rom dan ICERD.

Titah baginda, perkara yang dibuat secara tergesa-gesa pada ketika itu akan mengugat kesejahteraan rakyat dan menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu.

Menurut Tunku Ismail, tindakan Dr Mahathir menyerang institusi diraja tidak akan dapat menyelesaikan masalah-masalah negara yang telah dicipta sendiri oleh beliau termasuk isu perpecahan dan asimilasi kaum.

Malah, titah baginda, satu lagi pengkhianatan kepada rakyat Malaysia adalah apabila janji-janji yang dibuat kepada rakyat tidak ditunaikan.

“Apa-apapun saya berdoa semoga Tun panjang umur, sentiasa menghormati semua kaum di Malaysia dan berpegang teguh kepada Perlembagaan Negara.

“’I will see you soon, Tun’,” titah baginda,

Dr Mahathir dalam bukunya Capturing Hope turut menyentuh mengenai perana raja-raja di sisi Perlembagaan serta secara khusus menulis tentang Tunku Ismail. – MalaysiaGazette