Home Nasional Bapa dakwa anak cedera ditendang lembu rupanya dilanggar sendiri

Bapa dakwa anak cedera ditendang lembu rupanya dilanggar sendiri

drug case police lockup escapee Perak state assemblyman drug PDRM murder case Jalan Ampang logo

ALOR SETAR – Helah seorang bapa mendakwa anak perempuannya cedera akibat ditendang lembu terbongkar selepas siasatan polis mendapati mangsa dilanggar ketika suspek mengundur kenderaan dipandunya di rumah mereka di Kubang Pasu, semalam.

Mangsa berusia setahun itu mengalami kecederaan di kepala dan muka akibat kejadian terbabit sebelum dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk S. Suresh Kumar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian pada jam 10.56 semalam daripada seorang Pegawai Perubatan bertugas di HSB yang menyatakan menerima seorang bayi warga Myanmar dalam keadaan cedera.

Kata beliau, suspek berusia 27 tahun itu mendakwa anaknya mengalami kecederaan akibat ditendang seekor lembu ketika sedang bermain di luar rumahnya, bagaimanapun siasatan dijalankan mendapati bayi itu telah dilanggar bapanya ketika mengundur kereta di kediaman mereka.

“Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan muka, namun keadaan terkini mangsa stabil dan masih di bawah pengawasan wad unit rawatan rapi (ICU) HSB,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Suresh Kumar, suspek yang bekerja sebagai buruh binaan itu direman bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kecederaan fizikal atau emosi atau yang menyebabkan atau membenarkan dianiaya, diabaikan, dibuang atau didedahkan.

“Siasatan juga dijalankan ke atas kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana suspek disyaki tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah,” kata beliau. – MalaysiaGazette