BENTONG – Dua beradik maut dalam kemalangan yang membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di KM 44.1, Lebuhraya Karak – Kuala Lumpur, pada jam 3.20 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superitenden Zaiham Mohd Kahar berkata, kedua-dua mangsa itu meninggal dunia di tempat kejadian.
Wafa Safia Mohd Hairy, 17 tahun, dan adiknya Adam Haiqal Mohd Hairy, 12 tahun, disahkan meninggal dan Fahmi Eyman Mohd Hairy, 10 tahun, parah di bahagian kepala.
Manakala pemandu, Mohd Hairy Ahmad,44, mengalami kecederaan retak tulang belakang dan isterinya, Zuraini Zolkifli, 44, seorang guru, retak tulang tangan kanan,” katanya.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan itu berpunca tayar bahagian hadapan MPV itu termasuk ke dalam parit jalan di laluan kanan menghala ke Bentong.
“Kejadian itu menyebabkan pemandu gagal mengawal kenderaan sehingga berpusing dari kanan ke kiri jalan lalu terbalik.
Difahamkan, kenderaan sekeluarga itu dalam perjalanan dari Shah Alam ke Kelantan untuk menghadiri majlis pertunangan.
“Apabila sampai di tempat kejadian, MPV dipercayai cuba memotong kenderaan di hadapan ketika jalan basah tetapi gagal mengawalnya ketika tiba di selekoh menyebabkan ia terbabas dan terbalik.
“Kenderaan remuk teruk di bahagian hadapan , cermin depan pecah dan bumbung kemek,” katanya menerusi kenyataan.
Proses bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan ujian swab Covid-19 dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan ( APJ) 1987. –MalaysiaGazette